
BAJU RAYA SEDONDON KENANGAN TERAKHIR DENGAN ARWAH ISTERI
JASIN 27 Mac – “Besar ujian untuk kami sekeluarga namun saya reda dengan ketentuan ini,” itu kata Tengku Syafarin Tengku Abdullah.
Tengku Syafarin, 45, adalah suami kepada Noor Faradhillah Muhammad Yusuff, 42, yang maut dalam kemalangan di Jalan Melaka- Muar pada Isnin.
Menurut Tengku Syafarin, kehilangan isteri tersayang dalam sekelip mata bukan sesuatu yang mudah untuk diterima bukan sahaja oleh dirinya tetapi juga empat anak mereka yang berusia antara enam bulan hingga 19 tahun.
Dia juga tidak pernah menyangka kegigihan isterinya menyiapkan baju raya lebih awal dengan warna sedondon akan menjadi kenangan terakhir untuk mereka sekeluarga.
“Anak-anak masih kecil, terutama anak bongsu kami namun begitu saya berharap agar mampu diberikan kekuatan untuk membesarkan mereka sebaik mungkin.
“Apapun, saya akan cuba yang terdaya untuk tunaikan impian arwah isteri yang ingin melihat anak-anak kami berjaya,” katanya.
Menurutnya, pada hari kejadian arwah keluar dari rumah kira-kira jam 7.40 pagi dengan memberitahu mahu menghantar anak ketiga ke sekolah.
“Malah isteri turut berpesan kepada saya agar menjaga anak bongsu kami dan tidak sangka pesanan itu mempunyai makna yang amat mendalam.
“Selalunya arwah keluar tidak lama namun pada hari kejadian meskipun jam sudah jam 8.20 pagi dia belum kelihatan dan itu membuatkan saya rasa tidak sedap hati.
“Lokasi kemalangan tidak jauh cuma kira-kira dua kilometer sahaja dari rumah malah dikatakan sebelum kejadian arwah isteri sempat menghantar kuih raya kepada pelanggan di Kampung Tedong,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.