BAJET MELAKA 2025: PERUNTUKAN PEMBANGUNAN, INFRASTRUKTUR MENINGKAT
SERI NEGERI 2 Januari – Bajet Melaka 2025 disifatkan menyeluruh dan mampan apabila terdapat peningkatan jumlah peruntukan bagi pembangunan, penambahbaikan pada infrastruktur di negeri ini.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata Kerajaan Negeri dilihat memberi tumpuan kepada kemudahan awam yang perlu seiring dengan pembangunan semasa.
Katanya, Kerajaan Negeri berazam menyediakan infrstruktur yang terancang dan terbaik buat rakyat Melaka termasuk menaik taraf, membaik pulih kemudahan awam selain penyediaan pusat komuniti di bandar serta luar bandar.
“Antara projek yang akan dilaksanakan seperti menaik taraf bulatan Malim (Fasa 1) daerah Melaka Tengah; menaik taraf persimpangan tiga dari Jalan Alor Gajah Lama ke Pantai Belimbing, daerah Alor Gajah.
“Naik taraf Jalan Kuala Sungga – Batang Melaka berdekatan Kampung On Lok, daerah Jasin.
“Tumpuan infra dilihat dititik beratkan pada Bajet Melaka 2025 kali ini yang mana jika sebelum ini dianggarkan RM80 juta namun kali ini ia melebihi,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Hameed berkata bajet peruntukan Kerajaan Negeri yang terbesar adalah RM7.1 juta untuk projek-projek jalan negeri.
“Manakala RM4 juta pula diperuntukan untuk projek pembangunan, persimpangan jalan, manakala RM5 juta untuk projek jalan bersambung di Duyong,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.