Bajet Melaka 2022: Nafas lega buat B40

Masa Membaca:3 Minit, 7 Saat

MASJID TANAH 28 Dis. – Rata-rata penduduk di negeri ini terutama golongan B40 menyambut baik khabar baik berhubung Bajet Melaka 2022 yang dibentangkan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali kelmarin.

Namun demikian, ada juga yang memberi reaksi dan saranan agar ia diperbaiki supaya bajet inklusif terbabit benar-benar memenangi hati rakyat Melaka.

Bagi seorang penduduk, Raub Maahir, 62, berkata, dia bersyukur dengan pelbagai manfaat yang ditawarkan buat golongan B40 di negeri ini terutama dengan inisiatif bantuan Care Sayang yang telah dinaikkan daripada RM200 dan RM230 kepada RM250 akan dimanfaatkan buat 5,394 penerima di negeri ini.

Dia yang bekerja mengambil upah sebagai penoreh getah berkata, inisiatif itu perlu diperluaskan kepada golongan sepertinya yang tidak pernah menerima bantuan bulanan dari kerajaan negeri dan bekerja umpama ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Menurutnya, biarpun pelbagai inisiatif lain turut dimanfaatkan buat golongan B40 seperti bantuan Nutirisi Sejahtera B40 kepada setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) serta pelbagai lagi ia perlu disalurkan dengan lebih telus dan saksama kepada rakyat yang lebih memerlukan.

“Seperti bantuan buat petani dan pekebun kecil pula ia harus dikaji dan diperhalusi agar kesemua peringkat golongan petani menerima manfaatnya.

“Seperti pekerjaan yang saya jalankan iaitu menoreh getah di ladang bukan milik sendiri, saya tidak menerima bantuan musim tengkujuh seperti yang diumumkan kerajaan sebelum ini bagaimanapun hanya tuan tanah yang menerimanya sedangkan yang mengerjakan ladang itu adalah golongan seperti kami,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

RAUB

Sementara itu, seorang penduduk, Mohd Faizli Abu Hasan, 25, berkata, pembentangan bajet yang diumumkan itu menyeluruh dan memenuhi setiap aku janji Barisan Nasional (BN) yang diumumkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) November lalu.

Katanya, pelbagai inisiatif dimanfaatkan seperti mengagihkan kemudahan ambulans kepada 28 Japerun (Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri) dalam inisiatif Care Rakyat adalah perkara yang dinantikan rakyat sebagai tambahan kepada sistem perkhidmatan ambulans yang disediakan perkhidmatan awam di negeri ini.

“Seperti inisiatif ini saya melihat ia memang satu keperluan bagi meningkatkan perkhidmatan kesihatan awam lebih-lebih lagi pada kawasan pedalaman dan luar bandar ia lebih memerlukan berikutan kadangkala penduduk terpaksa menunggu lebih lama sekiranya sebarang kecemasan berlaku untuk mendapatkan kemudahan ambulans untuk ke hospital,” katanya.

MOHD Faizli dan pasangannya

Dia juga yang merupakan salah seorang pasangan pengantin baharu di negeri ini turut meluahkan rasa syukur apabila bakal menerima tempias daripada inisiatif yang diumumkan kerajaan negeri semalam apabila menawarkan inisiatif Care Cinta iaitu Skim Rumah Pasangan Yang Baru Berkahwin.

“Syukur apabila dimaklumkan kerajaan negeri memperuntukkan 70 unit perumahan dengan skim kadar sewa sebanyak RM150 sebulan buat pengantin baru dan difahamkan ia akan diperluaskan ke PPR Klebang dan Tangga Batu.

“Jadi sebagai antara mempelai yang baharu mendirikan rumah tangga saya berharap agar kerajaan negeri memperluaskan inisiatif ini ke setiap daerah di Melaka agar lebih ramai pasangan menerima manfaat lebih menyeluruh demi melangsungkan kehidupan,” katanya.

MILZIRWAN

Pada masa sama, seorang penduduk, Milzirwan Nashriq Mohd Noor,27 berkata, bajet yang dibentangkan kali ini benar-benar meliputi pelbagai bidang dan sektor penting di Melaka.

Dia yang merupakan seorang usahawan kecil bersyukur dengan manfaat yang diberi terutama bagi meneruskan kehidupan pasca penularan COVID-19.

“Seperti yang dijanjikan dalam PRN, inisiatif kerajaan negeri Melaka Bebas Berniaga dan ini telah dibuktikan dalam pembentangan semalam dan saya bersyukur apabila Ketua Menteri akan memperbanyakkan tempat berniaga dilengkapi infrastruktur asas yang lengkap selain mewujudkan zon kawasan perniagaan yang lebih terancang.

“Malah pelbagai lagi manfaat lain turut diumumkan buat secara amnya kepada peniaga kecil di negeri ini, Alhamdulillah, terima kasih kerajaan negeri di atas manfaat yang diberikan bagi memberi laluan kami untuk meneruskan kehidupan yang terjejas,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1210
Kongsi :
Previous post Xinyi Glass hasrat tambah pelaburan RM1.4 bilion di Melaka – Rauf
Next post Beruang matahari mati dipercayai dilanggar kenderaan
Ubah saiz-+=