Bajet Melaka 2022: Kak Som mohon peruntukan perkasa usahawan wanita
PENGKALAN BATU 18 Dis – Peruntukan khas bagi memperkasa dan melahirkan lebih ramai usahawan wanita perlu diangkat dalam Bajet Melaka 2022.
Exco Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata, perkara itu bagi memastikan daya ekonomi dalam kalangan wanita terus dipertingkatkan.
Menurutnya, ia termasuklah menerusi pelbagai program berbentuk bimbingan buat usahawan, kemudahan serta bantuan modal permulaan daripada kerajaan.
“Saya akan mempergiatkan dari segi ekonomi wanita itu sendiri kerana saya sendiri pun orang meniaga.
“Saya nampak perlu adanya usaha untuk meningkatkan ekonomi mereka seperti memberi ilmu-ilmu tertentu dan pendedahan dari segi kemudahan-kemudahan oleh kerajaan
“Sebenarnya ada pengusaha kita yang mereka hanya berniaga di rumah-rumah. Jadi dah tiba masanya yang berpotensi dan rajin diketengahkan di luar sana.
“Bila ada peruntukan, agensi-agensi terlibat pun boleh mengadakan lebih banyak seminar keusahawanan dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini (MHI) selepas mengadakan ‘walkabout’ pada Program Jualan Keluarga Malaysia di Tapak Bazar Taman Cempaka, Pengkalan Batu.
Dalam pada itu, beliau yang juga ADUN Pengkalan Batu berharap inisiatif seperti bantuan kit makanan Musa’adah dan bantuan kepada ibu-ibu tunggal yang diperuntukkan sebelum ini dapat diteruskan.
“Dalam keadaan banyak musibah berlaku, saya nampak bantuan kit makanan ini harus diteruskan bukan sahaja dalam COVID-19 dan banjir misalnya tetapi ia harus diteruskan dari segi kita menjaga kebajikan di negeri Melaka.
“Keadaan sekarang masih lagi belum stabil tapi kita ke arah itu. Jadi jangan hentikan atau kecilkan peruntukan untuk kit makanan ini”, katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.