Bajet Melaka 2022: Beri perhatian kepada ibu tunggal, pesara

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

AYER KEROH 13 Dis – Bajet Negeri Melaka 2022 yang akan dibentangkan hujung bulan ini harus bersifat inklusif dan tidak meminggirkan mana-mana golongan.

Ia termasuklah golongan pesara dan ibu tunggal yang terjejas ekoran pandemik COVID-19 dan kini bertegang kudrat memulihkan ekonomi masing-masing.

Bagi pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Abd Ghani Sahat, 59 Bajet Melaka 2021 diharap akan memberi penekanan kepada golongan pesara sepertinya yang turut bersaing dalam keadaan ekonomi serba mencabar ini demi menyara keluarga.

Tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada Pembayaran Pencen Veteran ATM, dia yang juga seorang peniaga sebaliknya berharap kerajaan negeri lebih prihatin dan memudahkan segala urusan rakyat membabitkan permohonan bantuan.

ABD Ghani

“Kita minta kerajaan negeri mengambil berat nasib veteran ATM yang suatu ketika dahulu bekerja tak kira masa untuk menyelamatkan negara ini.

“Sekarang kita dah uzur, ada yang terlentang dan lebih teruk lagi dah cacat anggota dengan pandemik ini kami seperti hilang arah.

“Tak dinafikan sebelum ini kerajaan ada bantu tapi kebanyakannya bantuan one-off dan ini agak menyukarkan untuk kami bertahan. Lagi-lagi saya ini peniaga..kena bayar sewa, lesen dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).. macam-macam,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Sementara itu, usahawan Kamziah Kamal, 46, mahu Bajet Melaka 2022 menitik beratkan pemberian insentif kepada golongan wanita terutama ibu-ibu tunggal.

KAMZIAH

“Ibu tunggal ini perlu diberi perhatian sebab ada di antara kami terpaksa melakukan dua tiga kerja seperti menjaga anak, menjaga ibu bapa yang sakit dan bekerja.

“Jadi segala bantuan seperti yang diumumkan sebelum ini diharap akan diteruskan, selain saya juga berharap kerajaan negeri boleh menyediakan bantuan modal melalui geran dan sebagainya untuk membantu kami berniaga selaras dengan inisiatif Melaka Bebas Berniaga yang diumumkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

831
Kongsi :
Previous post Denda RM200,000, penjara 20 tahun bagi pesalah teknologi penstriman
Next post Letupan kilang di Segamat: Seorang lagi meninggal dunia
Ubah saiz-+=