Bajet kurang, tapi pemain mantap!
BANDA HILIR 20 Dis. – Melaka United FC (MUFC) diyakini akan kekal menjadi antara pencabar utama dalam saingan Liga Super musim depan meskipun berdepan kekangan dari segi bajet.
Itu serba sedikit bayangan yang dikongsikan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali selepas menghadiri kongres ke-65 badan induk itu di Hotel Hatten, di sini.
Menurutnya, meski pun bajet pasukan untuk menghadapi musim depan berkurangan berbanding musim-musim terdahulu, namun, melalui perancangan yang sudah dirangka, beliau percaya skuad yang akan dibangunkan Ketua Jurulatih Zainal Abidin Hassan itu serba mantap dan boleh memberi cabaran dalam liga.
“Bajet memang kurang sedikit disebabkan kita semua faham sepanjang pandemik COVID-19 ramai yang terkesan. Tapi bagi saya, kurang-kurang bajet sekali pun, pemain yang kita ada masih mantap.
“Maklumat lanjut tentang pemain baharu dijangka akan diumumkan dalam seminggu lagi kerana masih ada beberapa perkara lagi perlu kita selesaikan,” ujarnya.
Dalam pada itu, mengulas desas-desus kononnya beliau akan melepaskan jawatan Presiden MUSA, Sulaiman berkata, buat masa ini beliau akan terus kekal menjawat jawatan berkenaan.
Bahkan, beliau juga akan turut menyandang jawatan sementara Bendahari Kehormat memandangkan posisi itu kini dikosongkan sementara selepas penyandangnya, Datuk Mohd Saiful Mat Sapri dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Melaka United FC Sdn. Bhd.
“Buat masa ini, mereka semua menyuruh saya kekal, jadi saya akan kekal la menjawat jawatan presiden. Bila sampai masa exco-exco kata saya boleh berundur, saya akan berundurlah,” katanya berseloroh.