Sorting by

×

BAJET 2025: RAKYAT SYUKUR KERAJAAN MELAKA PEDULI NASIB GOLONGAN MEMERLUKAN

Masa Membaca:2 Minit, 2 Saat

KUALA LINGGI 10 Januari – Pelbagai bantuan yang disalurkan Kerajaan Negeri kepada segenap lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa mahupun agama adalah selaras dengan iltizam untuk memastikan kebajikan setiap rakyat kekal terbela, tidak tercicir atau dipinggirkan.

Rata-rata rakyat yang ditemui Melaka Hari Ini memberikan reaksi positif terhadap bantuan yang diumumkan pada Bajet 2025 Negeri Melaka, khususnya membabitkan aspek kebajikan.

Menurut penduduk Kampung Ayer Molek Kuala Linggi, Ameena Masri, 45, bantuan kebajikan yang diumumkan Ketua Menteri pada pembentangan Bajet 2025 lalu adalah bersifat menyeluruh selain turut mengutamakan golongan sasar yang memerlukan.

Dia berkata, bantuan tersebut amat bermakna untuk ibunya, Zainon Abu, 66, yang kini sakit terlantar akibat angin ahmar.

“Pada saya, bantuan yang diterima ibu yang diserang angin ahmar sejak empat tahun lalu bukan sahaja diteruskan, malah terdapat peningkatan dari segi bantuan-bantuan lain dan itu memang sudah cukup memadai.

“Syukur golongan mereka yang sakit terlantar ini juga masih dipeduli Kerajaan Negeri dan tidak disisihkan. Kami amat bersyukur,” ujarnya ketika ditemui Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Skim Bantuan Kerajaan Negeri Sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (W.R.U.R) DUN Kuala Linggi di Balai Raya Kampung Kuala Linggi, di sini, hari ini.

Whatsapp Image 2025 01 10 At 15.16.15
AMEENA (kiri) dan Shamsiah (kanan).

Nada sama turut disuarakan Shamsiah Ramly, 55, ibu kepada seorang anak yang terlantar akibat penyakit tulang belakang.

Dia yang berasal dari Kampung Permatang berkata, anaknya merupakan kembar siam dan telah dipisahkan sejak kecil dan salah seorang daripada kembar tersebut terlantar sehingga kini hingga memerlukan bantuan lampin pakai buang dan susu.

“Terima kasih meneruskan bantuan dan prihatin akan nasib anak saya, Siti Fatimah Azzahra Abdul Malek, 33 yang terlantar sakit manakala kembarnya Siti Fatimah Thahirah Abdul Malek yang juga memerlukan untuk memakai lampin pakai buang.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada pemimpin yang tidak jemu menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan, diharapkan dengan program W.R.U.R ini, lebih ramai golongan yang terkesan ini diberi bantuan sewajarnya,” jelasnya yang menerima Bantuan Mesra Lampin Pakai Buang dan Bantuan Mesra Susu Orang Terlantar.

Kerajaan Negeri menerusi Bajet 2025 Negeri Melaka mengumumkan bantuan kebajikan berjumlah RM24.6 juta merangkumi RM16 juta Bantuan Mesra Am untuk golongan miskin; RM5 juta Bantuan Mesra Ketua Isi Rumah (KIR) untuk golongan miskin; RM1.9 juta Bantuan Mesra Lampin Pakai Buang Dewasa; RM1.5 juta Bantuan Mesra Susu Orang Terlantar dan RM200,000 Bantuan Mesra Pengurusan Jenazah B40.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

130
Kongsi :
Previous post LEMPAR TUKUL BESI KE ARAH BALAI POLIS LEPAS DENGAR ‘BISIKAN’
Next post W.R.U.R: KEMBARA KAK SOM DEKATI MASYARAKAT
Ubah saiz-+=