Sorting by

×

BAJET 2025 NEGERI MELAKA LULUS

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

SERI NEGERI 30 Disember – Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, hari ini, meluluskan Bajet 2025 Negeri Melaka yang bertemakan ‘Memangkin Pembangunan Terancang, Membina Masa Depan Gemilang’.

Bajet itu lulus apabila disokong 24 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pada sesi undian selepas ucapan penggulungan Usul dan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2025 pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas.

Sementara itu, dua Adun iaitu Dr. Mohd Aleef Yusof (PN-Sungai Udang) dan Dr. Mohd Yadzil Yaakub (PN-Bemban) memilih untuk berkecuali dan dua Adun tidak hadir iaitu Datuk Muhammad Jailani Khamis dan Datuk Wira Lim Ban Hong atas faktor kesihatan.

Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2025 itu telah digulung Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan sebelum itu dibahas seramai 15 Adun.

Terdahulu, Ketua Menteri memaklumkan Bajet 2025 meneruskan inisiatif bajet lebihan dengan anggaran Perbelanjaan Mengurus berjumlah RM497.7 juta dan anggaran hasil berjumlah RM498 juta.

Selain itu, sejumlah RM88 juta lagi diperuntukkan bagi Perbelanjaan Pembangunan merangkumi RM57.1 juta daripada sumber Hasil Negeri; RM28.4 juta daripada Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (Geran TAHAP); RM2.5 juta daripada Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) dan RM20 token daripada Akaun Pinjaman Disatukan.

Bajet 2025 itu berfokus kepada tiga agenda utama iaitu Kepelbagaian Ekonomi dan Pengukuhan Daya Saing; Kepedulian Masyarakat dan Transformasi Modal Insan Berkualiti serta Perkhidmatan Awam Cekap dan Berintegriti.

Ia akan dilaksanakan secara komprehensif melalui 12 tumpuan utama berdasarkan 11 portfolio Exco dan satu tumpuan khusus melibatkan perkhidmatan awam.

Pada sidang media selepas pembentangan Bajet 2025, Jumaat lalu, Ab Rauf menyifatkan belanjawan kali ini menyentuh segenap lapisan rakyat Melaka menerusi pelbagai inisiatif menyeluruh bagi memastikan tiada yang tercicir.

Antara inisiatif baharu yang diperkenalkan adalah Tabung Bantuan Dialisis Negeri Melaka yang memberi manfaat kepada pesakit buah pinggang dalam golongan B40 yang tidak pernah menerima bantuan rawatan dialisis dengan peruntukan berjumlah RM100,000.

Selain itu, Kerajaan Negeri turut memperkenalkan inisiatif mendigitalkan haiwan ternakan dengan kod QR bagi mengatasi isu haiwan ternakan berkeliaran yang boleh mengganggu gugat keselamatan pengguna jalan raya.

Turut diumumkan, program Insentif Pra Perkahwinan kepada 2,500 peserta terawal bagi mengikuti kursus kahwin percuma di bawah Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), selain perkhidmatan satu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), satu Ambulans bagi memperkasa perkhidmatan Paramedik Komuniti (PARAKOM).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

526
Kongsi :
Previous post TIGA PROJEK RTB DIJANGKA ALAMI KELEWATAN
Next post 12 USAHAWAN DAPAT MANFAAT SEWA SETAHUN PERCUMA DI PULAU MELAKA
Ubah saiz-+=