BAJET 2025 MELAKA: UITM CAWANGAN MELAKA INTAI PELUANG SINERGI BERSAMA KERAJAAN NEGERI
Oleh:
Prof. Datuk Ts. Dr. Hj. Mohd Rasdi Hj. Zaini
Rektor UiTM Cawangan Melaka
dan
Dr. Intan Maizura Abdul Rashid
Penyelaras Strategik dan Transformasi Universiti (PSTU) UiTM Cawangan Melaka
KERAJAAN Negeri Melaka telah membentangkan Belanjawan 2025 berjumlah RM585.7 juta pada hujung bulan Disember 2024 yang lalu. Aspek kebajikan dan kesejahteraan rakyat tanpa mengira kaum dan agama sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan Negeri.
Belanjawan negeri Melaka ini selari dengan tujuh Fokus utama hala tuju Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan 11 Resolusi Perancangan Strategik UiTM Cawangan Melaka 2025 yang menjadikan nilai sinergi bersama adalah strategik utama dalam menempuh tahun 2025 yang serba mencabar ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Belanjawan 2025 yang bertemakan Memangkin Pembangunan Terancang, Membina Masa Depan Gemilang adalah berlandaskan tiga agenda utama iaitu Kepelbagaian Ekonomi dan Pengukuhan Daya Saing, Kepedulian Masyarakat dan Transformasi Modal Insan Berkualiti serta Perkhidmatan Awam Cekap dan Berintegriti melalui 12 tumpuan utama.
Sejumlah besar RM497,761,105.00 telah dibajetkan di bawah Perbelanjaan Mengurus bagi tahun 2025. Perbelanjaan ini boleh dikurangkan jika Kerajaan bijak mengatur langkah dengan berkolaborasi dengan pihak industri, agensi ataupun institusi pengajian tinggi (IPT) di dalam negeri.
Strategi kepimpinan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang cukup bernas menyarankan agar “NO MORE WORK IN SILO” membuka ruang kepada semua pihak agensi di negeri Melaka terutamanya UiTM Cawangan Melaka untuk sinergi bersama. Selari dengan halatuju UiTM Cawangan Melaka ke arah Sinergi, Kebersamaan dalam langkah penjimatan dan prestasi unggul diperingkat negeri mahupun di peringkat antarabangsa.
UiTM Cawangan Melaka sentiasa terbuka dan berbesar hati untuk berkolaborasi bersama pihak Kerajaan Negeri dalam memberi pandangan, cadangan, sumber tenaga, penglibatan dan pemindahan ilmu. Kepakaran penyelidik di UiTM Cawangan Melaka juga seharusnya diperkasa untuk membantu Kerajaan negeri Melaka dalam melaksanakan agenda-agenda bagi tahun 2025. Sebagai contoh, dapat dilihat pada tahun 2024 bahawa UiTM Cawangan Melaka diberi peluang untuk berkerjasama dengan pihak Kerajaan Negeri dalam penganjuran program Minggu Sains Negara di UiTM Kampus Alor Gajah Melaka. Kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Kerajaan Negeri Melaka serta UiTM Cawangan Melaka, dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Melaka merupakan contoh terbaik Kerajaan negeri dalam melibatkan ipt dalam melaksanakan agenda Kerajaan negeri. Semestinya program seumpama ini dapat membantu penjimatan Kerajaan dari segi kos sumber manusia, sewaan ruang, pengurusan dan banyak lagi secara langsung atau tidak langsung.
Isu kenaikan kos sara hidup dan taraf ekonomi masyarakat negeri Melaka semestinya menjadi tunjang utama dalam Bajet Melaka 2025. Kerajaan Negeri dilihat sudah bersedia dengan pelbagai inisiatif untuk menangani isu ini dengan slogan “TAKDE KAT NEGERI LAIN… MANA LAGI? MELAKA LER!”. Melanjutkan Tahun Melawat Melaka (TMM) sehingga tahun 2026 sejajar dengan penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026 merupakan strategi Kerajaan yang harus dipuji kerana dapat meningkatkan taraf ekonomi rakyat negeri Melaka. Kesan positif impak dari rancangan ini antaranya adalah sasaran unjuran pelaburan bernilai 5 bilion ringgit yang akan membuka peluang kepada banyak pihak terutamanya kepada usahawan kecil dan SME dalam merebut peluang perniagaan dan keusahawanan. Banyak industri yang akan menerima impak dari pelaburan-pelaburan tersebut antaranya, industri makanan, penginapan, pembinaan, pengangkutan dan banyak lagi.
Banyak program keusahawanan yang ditekankan oleh Kerajaan Negeri iaitu kursus keusahawanan digital, pembangunan dan penawaran produk baharu pelancongan yang lebih inovatif dimana golongan belia dapat mengambil peluang untuk berniaga iaitu kesan dari kempen TMM 2024-2026 hasil peningkatan aktiviti pelancongan yang dilaksanakan oleh kerajaan Negeri Melaka.
Kepelbagaian Ekonomi dan Pengukuhan Daya Saing adalah agenda yang memangkin pembangunan terancang yang dititiberatkan di dalam Bajet Melaka 2025 bagi mengatasi isu keselamatan dan keselesaan Masyarakat negeri Melaka itu sendiri. Pendekatan yang diambil oleh kerajaan negeri dengan memperkenalkan ‘Car Free Zone’ dan ‘No Right Turn’. Sistem ini memberi kesan yang positif kepada peniaga dan pelancong dari aspek keselamatan dan keselesaan. Kebanjiran pelancong luar terutamanya pada hari minggu menjadikan tempat tumpuan pelancongan negeri Melaka menjadi pusat tumpuan ramai. Isu kesesakan lalu intas dan keselesaan akan mula timbul, namun Kerajaan negeri telah bersedia untuk menangani isu ini dengan mempekenalkan inisiatif Bas Berhenti-Henti Melaka, Digital Beca, Pembangunan Ekonomi Biru, Jejantas Tun Teja dan I-trafik.
UiTM Cawangan Melaka yang mempunyai tiga kampus yang terletak di sekitar negeri Melaka iaitu Alor Gajah (KAG), Bandaraya Melaka (KBM), dan Jasin Melaka (KJM) pastinya membuka ruang bekerjasama dengan Kerajaan negeri bagi meningkatkan taraf ekonomi masyarakat setempat. Perancangan strategi bagi ketiga-tiga kampus UiTM Cawangan Melaka yang berfokuskan aspek pelancongan adalah berbeza antara kampus. Misalnya, kampus Alor Gajah (KAG) memfokuskan Edutourism, manakala kampus Bandaraya Melaka (KBM) memberi tumpuan dalam bidang Tourism Entrepreneurship dan kampus Jasin Melaka (KJM) mempunyai kelebihan dalam bidang Agritourism. Negeri Melaka juga terkenal sebagai destinasi syurga makanan yang menjadi daya tarikan utama pelancong luar bercuti ke negeri Melaka. Pada tahun ini, Kerajaan Negeri optimis mensasarkan kehadiran seramai 16.5 juta pelancong. Justeru, Kerajaan negeri telah memberi perhatian kepada isu keterjaminan bekalan makanan melalui Bajet Melaka 2025.
Program Pembangunan Tanah-Tanah Sawah Terbiar melalui konsortium memperlihatkan kesungguhan kerajaan negeri bagi memastikan keterjaminan bekalan makanan terutamanya pengeluaran padi. Keterjaminan bekalan makanan terus diperkukuh dengan memastikan bekalan utama seperti beras, ikan dan daging sentiasa mencukupi. Program Kampung Digital juga diperkenal bertujuan mengelakkan kemalangan yang tidak diingini sekali gus menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat. UiTM Cawangan Melaka juga turut berpendapat keterjaminan bekalan makanan adalah isu penting yang perlu dititikberatkan bagi menampung keperluan asas tersebut. Agritourism yang merupakan bidang tumpuan UiTM kampus Jasin Melaka dapat menyelesaikan isu bekalan makanan ini melalui pelbagai hasil pertanian yang diusahakan oleh pelajar dan pensyarah.
UiTM kampus Alor Gajah yang memfokuskan Edutourism semestinya menjadi pusat pemindahan ilmu yang boleh digunakan oleh Kerajaan Negeri kerana mempunyai fasiliti yang cukup lengkap serta kepakaran para pensyarah yang ramai. Bajet Melaka 2025 antara lain memberi fokus terhadap kepentingan teknologi digital yang akan memudahkan banyak pihak. Sebagai contoh, aplikasi i-trafik, mendigitalkan beca, mendigitalkan haiwan ternakan melalui Kod QR dan inisiatif Kampung Digital. Semestinya di UiTM kampus Alor Gajah mempunyai ramai pakar dalam bidang Pengurusan teknologi dan Komunikasi dan Pengajian Media yang sedia membantu Kerajaan Negeri untuk mencapai hasrat ke arah transformasi digital ini. UiTM Cawangan Melaka sentiasa bersedia untuk menawarkan kursus jangka pendek kepada penjawat awam negeri melaka mahupun komuniti setempat seperti kursus asas pengurusan teknologi dan asas komunikasi media yang boleh mendukung agenda ini.
Keusahawanan adalah satu lagi penyelesaian isu kos sara hidup dan ekonomi rakyat di negeri Melaka. UiTM kampus Bandaraya Melaka (KBM) berperanan penting dalam melahirkan bakal usahawan dalam industri pelancongan kerana kedudukannya yang strategi di tengah-tengah pusat pelancongan negeri Melaka. Kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM300 ribu ringgit bagi program Pembangunan usahawan pada bajet tahun ini. Kerajaan juga membelanjakan jutaan ringgit terhadap produk-produk pelancongan negeri Melaka. Semestinya, UiTM jika diberi kepercayaan oleh Kerajaan negeri untuk berganding bahu bagi menghasilkan bakal usahawan ingin merebut peluang ini. Usahawan perlu dibekalkan dengan ilmu yang betul untuk berjaya dalam sesuatu perniagaan. Produk pelancongan yang begitu pesat membangun di negeri Melaka pada tahun 2025 yang bakal menarik 16.5 juta pelancong ke negeri ini jika tidak dimanfaatkan peluang yang ada semestinya menjadi kerugian besar kepada usahawan-usahawan di negeri ini.
Selain itu, UiTM Cawangan Melaka secara keseluruhannya sentiasa menerapkan nilai kebersamaan dalam menangani isu modal insan berkualiti. Bajet Melaka 2025 kali ini menawarkan Program Insentif Pra-Perkahwinan kepada 2,500 peserta terawal bagi mengikuti kursus kahwin secara percuma. Insentif ini sememangnya akan membentuk keluarga sakinah yang mampu menangani isu sosial melalui kursus yang membangun insaniah seterusnya membina keluarga yang bahagia selari dengan pembangunan modal insan yang berkualiti. Program seumpama ini sudah tentu dapat menangani masalah sosial yang berpunca dari masalah tekanan hidup dan membuktikan Bajet Melaka 2025 ini meliputi semua lapisan Masyarakat dan peringkat umur.
Antara inisiatif yang boleh dibuat oleh UiTM Cawangan Melaka dalam menangani isu sosial di negeri Melaka ini adalah dengan menganjurkan program-program ceramah keagamaan dan kempen kesedaran yang boleh di hadiri oleh orang awam. Bantuan kebajikan kepada golongan rentan, berkeperluan khas, pembangunan keluarga serta bantuan kepada golongan Wanita yang menjadi inisiatif dalam Bajet Melaka 2025 sememangnya bersifat inklusif selari dengan halatuju UiTM Cawangan Melaka. Penyediaan 1 Parakom 1 ambulans di setiap PBT memberikan nilai tambah bantuan kecemasan kepada masyarakat setempat. Pada tahun lalu, bantuan peruntukan sebanyak RM129.6 Juta diberikan kepada 31,356 penerima menunjukkan keprihatinan Kerajaan Negeri Melaka di bawah kepimpinan YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh Ketua Menteri Melaka. Peranan UiTM Cawangan Melaka juga tidak berkecuali dalam isu kebajikan ini, pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM Cawangan Melaka juga telah menubuhkan inisiatif dapur HEP yang membolehkan orang ramai menderma bagi keperluan dapur HEP yang akan digunakan oleh pelajar b40. Modal insan berkualiti juga tidak boleh diterapkan dalam jati diri seseorang jika masalah sosial yang berleluasa pada zaman ini tidak ditangani.
Akhir sekali, agenda ketiga dalam Bajet Melaka 2025 adalah Perkhidmatan Awam Cekap dan Berintegriti. Agenda ini dirangka untuk memastikan sistem sokongan yang sentiasa bersemangat memacu agenda kerajaan Melaka. Sekali lagi, agenda ini amat berketepatan dengan hala tuju UiTM Cawangan Melaka, UiTM Cawangan Melaka melalui bengkel perancangan strategik 2025 yang berlangsung pada 20 dan 21 Januari 2025 yang lalu amat menekankan aspek tatakelola kerja yang mampan dan berintegriti bagi memastikan semua staf sentiasa jujur dan Amanah dalam menggalas tanggungjawab sebagai penjawat awam di negeri Melaka. Bajet Melaka 2025 menyaksikan pelbagai perancangan strategi yang komprehensif lagi inklusif dan inisiatif oleh Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh membuktikan keprihatinan kerajaan negeri sentiasa peka kepada keluhan dan kebajikan rakyat negeri ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.