Sorting by

×

BAJET 2025 MELAKA PACU KEGEMILANGAN SEKTOR PELANCONGAN – PPSPM

Masa Membaca:2 Minit, 22 Saat

AYER KEROH 3 Januari – Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) menyifatkan pembentangan Bajet 2025 Negeri Melaka yang yang dibentangkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh sebagai sebuah bajet inklusif yang bukan sahaja menunjukkan kepedulian kepada rakyat, tetapi juga memacu ekonomi sektor pelancongan.

Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM Shaharul Azuar Idris berkata, Melaka akan terus tersohor dan gemilang pada 2025 memandangkan negeri ini bakal mewakili Malaysia sebagai tuan rumah Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD 2025) dan Persidangan Pelancongan Sedunia 2025 (WTC 2025) yang menghimpunkan delegasi pelancongan dari lebih 155 buah negara.

Tidak hanya itu, beliau berkata, pelanjutan Tahun Melawat Melaka (TMM) sehingga 2026 seperti yang diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh juga akan terus menggalakkan pertumbuhan sektor pelancongan negeri.

Menurut Shaharul, melihat dari sudut PPSPM, pihaknya amat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) kerana menyalurkan dana berjumlah RM11.9 juta bagi pembangunan ekopelancongan di daerah Jasin dan Alor Gajah.

Jelasnya, peruntukan itu membabitkan RM7.9 juta di daerah Alor Gajah dan RM4 juta di daerah Jasin, di mana terdapat empat pakej di bawah seliaan PPSPM akan dibangunkan.

“Peruntukan ini memberi impak kepada pembangunan Eco Tourism Cruise di Sungai Rambai, selain penambahan dua buah bot di Sungai Linggi, penambahan keluasan Restoran Terapung dan penambahan Jeti di tanah PPSPM di Kuala Linggi.

“Selain itu, ia juga akan digunakan bagi penambahan Jeti di Kampung Teluk Berembang serta menambah baik tempat-tempat menarik untuk pengunjung lawati semasa menelusuri Sungai Linggi,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

6179273645118046119
SHAHARUL Azuar menunjukkan lokan yang menjadi antara tarikan produk Eco Cruise Sungai Linggi. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Mengulas lanjut, Shaharul Azuar berkata, dalam merancakkan lagi sektor pelancongan Melaka sepanjang 2025, PPSPM yang juga tulang belakang pelancongan negeri akan menambah baik dan memperkenalkan beberapa lagi produk baharu.

Menurut beliau, antara yang diperkenalkan adalah Restoran Terapung Bot Mendam Berahi di Pengkalan Rama; pakej bot premium untuk majlis persendirian atau korporat serta pakej Sea Cruise ke pulau-pulau dan Taman Laut Melaka.

“Selain itu, PPSPM turut akan melancarkan aplikasi River Cruise (RC) bagi pembelian tiket tanpa tunai dan pakej kombo bersama agensi serta pemain industri pelancongan sepanjang Sungai Melaka.

“Kita juga akan meneruskan penganjuran Festival Sungai Melaka dengan acara-acara ikonik seperti Pertandingan Perahu Naga, memancing dan memasak, Pertandingan Kayak, Neon Walk serta selawat di atas bot.

“Pada masa sama, kita juga komited untuk mencipta pengiktirafan dalam Malaysia Book Of Record (MBOR) seperti masakan kuih tradisional atau persembahan tradisional terpanjang di sepanjang sungai Melaka sempena 20 tahun penubuhan PPSPM,” katanya lagi.

Selain ‘menduniakan’ sektor pelancongan, Shaharul Azuar turut yakin dan percaya inisiatif Bajet 2025 Negeri Melaka dapat memperbaiki taraf hidup rakyat, selain memastikan kelestarian ekonomi baik secara makro mahupun mikro.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

406
Kongsi :
Previous post PENJAWAT AWAM MELAKA HAYATI AMANAT PM
Next post BELON UDARA PANAS BAKAL HIASI LANGIT AYER KEROH
Ubah saiz-+=