BAJET 2025 MELAKA CAKNA ORANG ASLI
SUNGAI UDANG 11 Januari – Seramai 28 Tok Jekerah termasuk Tok Jenang dari perkampungan Orang Asli di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan menerima manfaat daripada inisiatif yang diumumkan Bajet 2025 Negeri Melaka, baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, beliau menyambut baik dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh kerana tidak melupakan kebajikan komuniti Orang Asli.
Beliau yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri memaklumkan, menerusi insiatif itu, kesemua mereka dan Tok Batin akan menerima Skim Perlindungan Insurans Kesihatan termasuk kematian bernilai RM30,000 itu bermula pada bulan ini.
“Sebagai DUN yang mempunyai paling ramai masyarakat Orang Asli, saya percaya ini adalah satu langkah terbaik kerana sebelum ini perlindungan insurans itu hanya diberikan kepada Tok Batin sahaja.
“Inisiatif ini penting kerana mereka juga memberi perkhidmatan yang penting dalam komuniti setempat termasuklah menjaga kebajikan anak-anak buah mereka di dalam perkampungan Orang Asli,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Kejohanan Sukan Dua Jiwa Satu Hati Dan Sukan Antara Badan Beruniform Piala Ketua Menteri Melaka Tahun 2025, yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, di Lapang Sasar Kem Terendak, Sungai Udang, hari ini.
Fairul Nizam berkata, aspek pendidikan dalam kalangan anak Orang Asli turut diberi perhatian apabila bantuan ‘one-off’ di bawah Bantuan MESRA Anak Orang Asli turut dinaikkan kepada RM100 berbanding hanya RM50 sebelum ini.
“Ini adalah komitmen Kerajaan Negeri yang sentiasa cakna dan tidak meminggirkan anak-anak Orang Asli apabila bermula tahun ini bantuan itu dinaikkan jumlahnya.
“Kita amat harap dengan penambahan elaun-elaun ini ia akan meningkatkan semangat anak-anak Orang Asli ini untuk belajar bersungguh-sungguh seterusnya melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.