Sorting by

×

BAJET 2025: ANAK MUDA CADANG MELAKA PERKENAL BAUCAR BUKU

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

AYER KEROH 20 September – Pemerkasaan dalam bidang pendidikan menjadi antara aspirasi yang dizahirkan anak muda kepada Kerajaan Negeri menjelang pembentangan Bajat 2025 Negeri Melaka, hujung tahun ini.

Tinjauan Melaka Hari Ini mendapati rata-rata anak muda negeri ini mencadangkan agar pembangunan sektor pendidikan perlu menjadi tumpuan utama Kerajaan Negeri merangkumi pelbagai aspek bantuan dan inisiatif yang boleh disalurkan kepada mereka.

Aina Athirah Zaini, 26, berkata, bantuan pendidikan seperti pemberian baucar buku yang pernah diperkenalkan Kerajaan Pusat suatu ketika dahulu perlu dikembalikan kerana ia benar-benar membantu golongan pelajar terutama penuntut di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Pelajar jurusan Sains Komputer Universiti Teknologi MARA (UITM) Jasin itu berpendapat Kerajaan Negeri perlu membuka satu inisiatif khas buat anak Melaka yang menuntut di negeri ini dengan memperkenalkan pemberian baucar buku dan mengambil contoh model yang digunakan kerajaan beberapa tahun lalu.

“Baucar buku ini penting buat pelajar IPT sebab walaupun zaman sekarang ada menggunakan pembelajaran digital namun rujukan kepada buku-buku fizikal itu masih lagi diperlukan.

“Malah untuk membeli buku di universiti bukanlah murah dan ada pelajar dari keluarga berpendapatan rendah tidak mampu membelinya sehinggakan ada mereka terpaksa menggunakan kaedah buku fotostat sebab tidak mampu memiliki sebuah buku yang mahal.

“Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, saya rasa pemberian baucar buku amat bermakna kepada kami jika inisiatif ini dilaksanakan semula,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Sementara itu, seorang penuntut di Melaka International College of Science And Technology (MiCoST), Muhammad Afiq Hafifi Alias, 21 berpendapat, Kerajaan Negeri perlu melaksanakan satu garis panduan atau pendedahan kepada anak muda di negeri ini terutama golongan di luar bandar untuk memberi galakan mereka melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Ini kerana, katanya, mutakhir ini ramai anak muda tidak berminat untuk melanjutkan pengajian menyebabkan data kemasukan pelajar di mana-mana IPT semakin menurun.

“Hal ini disebabkan masalah kewangan yang dihadapi membuatkan semangat mereka hanya berada di sekerat jalan.

“Saya mencadangkan kerajaan perlu ada satu pendedahan untuk mendedahkan apa manfaat mereka jika melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

“Bantuan pendidikan perlu diperluaskan bagi membantu golongan yang tidak berkemampuan untuk melanjutkan pengajian mereka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

166
Kongsi :
Previous post NAIK TARAF BULATAN KLEBANG SIAP OKTOBER
Next post JOM JADI HERO KEBERSIHAN
Ubah saiz-+=