Bajet 2023: Guru KAFA, imam, bilal, siak terima bayaran khas RM500
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata bantuan itu akan memanfaatkan 72,000 orang dengan peruntukan RM36 juta.
“Setiap tahun kerajaan menyediakan hampir RM700 juta sebagai bayaran elaun bulanan kepada imam, guru KAFA dan guru takmir.
Mereka berperanan besar dalam mendidik anak-anak kita dan mengimarah Islam di peringkat komuniti,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Tengku Zafrul berkata agenda memartabatkan syiar Islam akan terus diutamakan dengan sejumlah RM1.5 bilion disediakan di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam.
Katanya bagi tahun depan, kerajaan menyediakan RM150 juta untuk menyelenggara fasiliti pendidikan di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) antaranya sekolah agama rakyat, sekolah tahfiz dan institusi pondok berdaftar.
Bagi menyemarakkan pembangunan industri halal, sejumlah RM92 juta disediakan antaranya untuk meneruskan Projek Pembangunan Pusat Hab Halal Tanjung Manis, Sarawak yang dijangka siap tahun depan dengan peruntukan sebanyak RM59 juta.
Daripada jumlah peruntukan itu juga, RM8 juta disediakan bagi program “Malaysia Services and Halal Global” sebagai mempromosi produk halal di pasaran global, RM6.5 juta bagi inisiatif pembangunan industri halal untuk meningkatkan pematuhan pensijilan halal dan mengadaptasi inovasi halal serta RM2.5 juta untuk memperkenalkan Wakaf Halal PKS OKU. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.