Bajet 2023 akan dibentang sekali lagi sebelum akhir tahun – PM
Beliau berkata Bajet 2023 perlu dibahas dan diluluskan di Dewan Rakyat agar semua inti pati yang terkandung dalam belanjawan persekutuan itu dapat dilaksanakan.
“Kita dah umumkan bajet. Macam-macam kita hendak bagi kepada rakyat. Semua kita nak bagi ini tetapi kita belum luluskan lagi bajet (Bajet 2023),” katanya ketika berucap merasmikan Ramah Mesra Perdana Menteri bersama peserta FELCRA, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Warga Orang Asli di Arena Merdeka di sini hari ini.
Ismail Sabri berjanji akan melaksanakan segala inisiatif dalam Bajet 2023 jika terus diberi mandat sebagai Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Kalau orang lain perintah, saya tak jamin dapat apa yang dijanjikan. Ada beza antara bajet yang dibentang, tidak dilulus dengan manisfesto. Manifesto ini janji.
“Tetapi bajet apabila dibentangkan, bermakna duit telah tersedia. Itu beza. Duit sudah ada cuma tunggu lulus sahaja untuk laksana,” katanya.
Pada 7 Okt lepas, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz membentangkan Bajet 2023 yang melibatkan peruntukan RM372.3 bilion.
Ia bagaimanapun belum dilulus atau dibahaskan di Dewan Rakyat susulan Parlimen dibubarkan pada 10 Okt lepas oleh Ismail Sabri selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.