Sorting by

×

Bajet 2022 Negeri Melaka diluluskan

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

SERI NEGERI 27 Dis – Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka sebulat suara meluluskan Bajet 2022 Negeri Melaka pada Persidangan Pertama (Khas) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Ke-15 Tahun 2021, hari ini.

Bertemakan ‘Stabil Melaka, Makmur Bersama’, bajet itu telah dibentangkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Bajet inklusif kali ini menumpukan kepada tiga fokus utama iaitu kesejahteraan rakyat, kemampanan ekonomi dan kecekapan tadbir urus.

Dalam undian selepas ucapan penggulungan bajet tersebut, ia telah mendapat sokongan daripada seramai 15 ahli, manakala enam berkecuali dan tujuh tidak hadir.

Bajet Melaka 2022 disifatkan sebagai serampang banyak mata, khusus dalam memfokuskan kepada pemulihan ekonomi dan mengotakan sebahagian aku janji 100 hari dan maksimum lima tahun manifesto pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 Nov lepas.

Bajet kali ini juga menyediakan pelbagai inisiatif kebajikan rakyat demi kesejahteraan semua golongan masyarakat tanpa ada yang terkecuali atau tertinggal.

Untuk kali ke-18 berturut-turut, bajet kali ini turut dicatatkan sebagai bajet surplus atau bajet lebihan dengan memperuntukkan anggaran perbelanjaan mengurus berjumlah RM427.92 juta dan jangkaan kutipan hasil berjumlah RM428.91 juta.

Menurut Sulaiman, perbelanjaan mengurus itu merangkumi Maksud Tanggungan dianggarkan berjumlah RM10.48 juta manakala bagi Maksud Bekalan sebanyak RM417.44 juta.

Manakala, anggaran perbelanjaan pembangunan pula ialah sebanyak RM80 juta iaitu melibatkan sumber hasil negeri sebanyak RM56.36 juta dan pemberian Geran Tahap oleh kerajaan persekutuan sebanyak RM23.64 juta.

Tambah Sulaiman, walaupun negara masih berdepan cabaran pandemik COVID-19, kerajaan negeri telah berjaya mencapai sekurang-kurangnya dua kejayaan pada 2021.

Kejayaan itu termasuklah, meningkatkan rizab negeri sebanyak RM15.969 juta di bawah Kumpulan Wang Amanah Simpanan Negeri Melaka, berbanding RM960,000 pada tahun 2020.

Selain itu, Melaka juga berjaya mencapai 102.71 peratus kutipan hasil bernilai RM458.03 juta, melebihi daripada sasaran asal RM445.96 juta pada 2021.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

930
Kongsi :
Previous post Bajet 2022 – Melaka beri insentif RM1,000 kepada nelayan berdaftar
Next post Bajet 2022: Bantuan bot mangsa banjir diseliakan PDT- Sulaiman