Baitulmal, kekuatan mendepani permasalahan sosioekonomi ummah
BANDARAYA MELAKA 6 Mac – Peranan Majlis Agama Islam Negeri yang melaksanakan tugas baitulmal dilihat menjadi sumber kekuatan umat Islam dalam mendepani permasalahan sosioekonomi ummah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, ketika ini pengurusan hal ehwal Islam tidak terlepas daripada berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk memerlukan pengurusan agihan zakat yang lebih sistematik dan produktif.
Katanya, institusi sosioekonomi antaranya baitulmal, zakat dan wakaf mempunyai peranan yang signifikasi justeru ia perlu berkembang selari dengan perkembangan kemajuan teknologi serta digital.
“Kini peranan baitulmal dikendalikan oleh Majlis Agama Islam Negeri dan ia selaras dengan Perlembagaan Persekutuam yang meletakkan bidang kuasa hal ehwal Islam bawah senarai negeri.
“Justeru itu kita melihat gabungan ini dalam konteks saling melengkapi antara satu sama lain yang harus dijadikan sumber kekuatan umat Islam di negara ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Konvensyen Baitulmal Kebangsaan 2024, di sebuah hotel di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) Datuk Selamat Paigo dan Pengurus Baitulmal Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Mohd Hairulamin Mohd Sis.
Mohd Na’im berkata, transformasi dan anjakan paradigma perlu dilaksanakan segera selari dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahukan zakat sentiasa berada pada tahap yang baik dan cemerlang.
“Suka saya tekankan pentingnya tatakelola dalam pelaksanaan dan mentadbir urus zakat supaya ianya bukan sahaja lebih efektif tetapi membantu menyelesaikan masalah kemiskinan tegar.
“Malah inisiatif dengan meneroka sumber baharu juga perlu diperbanyakkan demi memastikan dana baitulmal terus berkembang dan mampu menjadi pemangkin dalam pembangunan sosioekonomi ummah,” katanya.
Jelasnya lagi, jalinan kerjasama strategik antara baitulmal dan institusi lain dalam negara termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi antarabangsa perlu diperkukuhkan dalam usaha mendapatkan dana yang boleh membangunkan lagi harta milik baitulmal.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.