Sorting by

×

Baiki rumah penjawat awam daif tahun ini – PM

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

BANDA HILIR 9 Februari – Menyediakan perumahan lebih selesa bagi penjawat awam termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Penjara antara keutamaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tahun ini.

Katanya, kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM1 bilion bagi merealisasikan inisiatif itu dengan membaiki kemudahan perumahan yang dianggap sebagai sudah daif dan uzur.

“Kita akan memastikan kesemua perumahan penjawat awam seluruh negara dibaiki tahun ini. Saya terima maklumat dan saksikan sendiri rumah-rumah anggota polis sangat daif, seolah-seolah kalau ada pun (diperbaiki) dalam (waktu) 10 hingga 15 tahun itu langkah kecil-kecilan.

“Tapi tiada satu dasar perbaiki, memang ada disuarakan di Parlimen tetapi tindakan yang diambil kurang memberansangkan,” katanya ketika berucap Program Lawatan Kerja Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Ruji Ubi.

Hadir sama barisan Exco Kerajaan Negeri; Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Wira Abdul Halim Tawil dan Ketua Polis Negeri, Datuk Wira Zainol Samah.

Dalam perkembangan lain Perdana Menteri, menasihatkan pegawai dan anggota PDRM membuang  segala amalan yang akan merosakkan imej serta integriti badan penguatkuasa itu seperti rasuah selain salah guna kuasa.

“Meskipun kesalahan itu hanya dilakukan segelintir, tetap akan merosakkan nama keseluruhan PDRM. Jadi saya minta kerjasama PDRM semua peringkat supaya perbaiki (sikap) kerana kita cuba mengubah imej dan sistem di negara kita ini.

“Walaupun kita mempunyai rekod cemerlang dalam banyak hal, tetapi negara juga tercemar kerana salah guna kuasa dan rasuah yang mencalarkannya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

570
Kongsi :
Previous post IPD Melaka Tengah baharu di Krubong
Next post Dua minggu selesaikan proses pindah IPD Melaka Tengah
Ubah saiz-+=