Bagi barang kitar semula, dapat duit
AYER KEROH 13 Disember – Sebanyak 7,741 kilogram barang kitar semula berjaya dikumpul menerusi Program Anda Kitar, Kami Bayar (AKKB) Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Dataran Bandaraya MBMB, baru-baru ini.
Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata jumlah itu sekali gus merekodkan nilai jualan sejumlah RM5,936.80 dalam tempoh hanya empat jam.
“Biarpun hujan lebat, ia tidak menghalang warga bandaraya untuk menyumbang barang kitar semula pada program ini, bermula jam 9 pagi hingga 1 petang program ini mendapat sambutan menggalakkan.
“Program AKKB kali ini dijayakan bersama 37 orang daripada Tuah Volunteer Team (TVT) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang menyumbang khidmat bakti membantu warga Bandaraya.
“Mengikut pecahan nilai kutipan barangan ini sebanyak RM4,971 adalah minyak terpakai, RM179.20 e-waste, RM297.10 fabrik dan RM489.50 barangan 3R (Kurangkan, Guna Semula, Kitar Semula),” katanya.
Dalam pada itu, Shadan mengucapkan terima kasih kepada warga bandaraya, agensi dan pembekal terlibat Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Life Line Clothing dan Meriahtek, Tuah Volunteer Team (TVT) serta anggota MBMB.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.