BADEN-WÜRTTEMBERG PERKUKUH HUBUNGAN EKONOMI DENGAN MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

AYER KEROH 15 Oktober – Baden-Württemberg mahu memperkukuh hubungan ekonomi bersama Negeri Melaka dalam misi pelaburan yang dibawa menerusi Deutscher Brand Summit 2024.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Buruh dan Pelancongan Baden-Württemberg, Jerman, Dr. Nicole Hoffmeister-Kraut berkata, kedatangannya bersama lebih 30 delegasi ke negeri bersejarah ini disifatkan cukup bermakna memandangkan kedua-dua negeri berkongsi persamaan dalam bidang industri dan pelancongan.

Menurutnya lagi, selain Melaka, negeri yang terletak di Barat Daya Jerman itu juga membawa signal jelas iaitu mahu bekerjasama erat dengan negara dari rantau Asia Tenggara.

“Menerusi misi pelaburan ini, kami memfokuskan kepada beberapa matlamat, yang pertama dalam sudut hubungan ekonomi dengan Malaysia, selain memperkukuh hubungan sedia ada yang telah terjalin.

“Kedua adalah adalah menggalak aspek pemindahan teknologi memandangkan Baden-Württemberg mempunyai kepakaran dalam revolusi industri 4.0 (IR 4.0) dan inovasi.

“Selain itu, Malaysia bukan sahaja memiliki akses kepada pasaran yang dinamik, tetapi juga pembekal terbaik bagi rantaian global, sekali gus menjadikannya sebagai destinasi ideal untuk pelaburan syarikat dari Jerman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Deutscher Brand Summit 2024 Conference & Exhibition yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco Kerajaan Negeri; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar; barisan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Dr. Nicole turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Melaka khususnya Ketua Menteri yang telah memberikan layanan yang baik kepadanya serta delegasi dari Jerman sepanjang program ini.

Beliau berharap hubungan di antara Baden-Württemberg dan Melaka dapat terus dipereratkan dalam pelbagai bidang pada masa akan datang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

75
Kongsi :
Previous post GTP HANYA 2 KILOMETER DARI LEBUH RAYA
Next post MANGSA BANJIR TERIMA BANTUAN KECEMASAN
Ubah saiz-+=