Sorting by

×

‘Badang cilik’ Nyalas dalam pembikinan

Masa Membaca:2 Minit, 10 Saat

ATLET muda angkat berat Akademi Angkat Berat Nyalas terus mengharumkan nama Negeri Melaka apabila berjaya membawa pulang tujuh pingat perak dan lapan pingat gangsa, baru-baru ini.

Kejayaan itu diraih pada Kejohanan Angkat Berat Jemputan Majlis Sukan Negara (MSN) Kedah berlangsung di Dewan Kompleks Belia Dan Sukan, Alor Setar.

Pengerusi Kelab Angkat Berat Nyalas merangkap Pengurus Pasukan Angkat Berat Melaka, Imran Lamin berkata, seramai 17 peserta muda yang pertama kali mewakili Melaka telah diberi peluang beraksi di pada kejohanan itu.

Katanya, walaupun menjadi platform pertama buat kesemua mereka, namun pencapaian yang diraih dianggap cukup membanggakan Negeri Melaka.

“Semua peserta berusia antara sembilan hingga 16 tahun, mereka memberikan saingan hebat kepada atlet yang lebih berpengalaman dari 10 negeri mengambil bahagian dalam kejohanan itu.

“Kejayaan kali ini di luar jangkaan kerana semua atlet yang dihantar pertama kali diberikan pendedahan bertanding di peringkat kebangsaan.

“Saya yakin akademi ini berada pada landasan betul dalam melahirkan lebih ramai atlet angkat berat bagi Negeri Melaka khususnya dan Malaysia amnya,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

WhatsApp Image 2022-12-02 at 13.11.09 (2)
ZAIRUL Izzat (kanan) dari SMK Nyalas memenangi gangsa bagi acara Snatch dan Clean & Jerk kategori 61 kilogram lelaki bawah 16 tahun.

Kejohanan yang berlangsung dari 25 sehingga 28 November lalu itu menghimpunkan seramai 138 atlet angkat berat yang dibahagikan kepada kategori Bawah 13 Tahun Lelaki dan Wanita selain Bawah 16 Tahun Lelaki dan Wanita.

Menurutnya, atlet muda yang mewakili negeri pada kejohanan itu dipilih daripada dua sekolah menengah dan lima sekolah rendah sekitar Melaka.

“Mereka cuma dapat berlatih selama enam minggu sahaja sebelum kejohanan, kejayaan ini juga hasil kerja keras jurulatih pasukan Mohd Yudzaimie Mohd Yunus dan Mohd Said Menhad yang mengajar teknik angkatan yang betul kepada mereka.

“Alhamdulillah ianya memberi impak yang baik, bagaimanapun masih banyak lagi yang perlu diperbaiki untuk menghadapi kejohanan-kejohanan akan datang,” katanya.

Katanya, kemenangan Nurul Syasya Khairina Samsur, 13, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nyalas dalam Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022 baru-baru ini, juga menjadi pembakar semangat kepada peserta.

WhatsApp Image 2022-12-02 at 13.11.09 (1)
KONTIJEN Angkat Berat Negeri Melaka dibarisi atlet berusia sembilan hingga 16 tahun.

“Ini juga menarik minat murid-murid dan ibu bapa untuk terlibat secara aktif dalam sukan ini, sememangnya kita mempunyai ramai atlet angkat berat berbakat dari kawasan luar bandar.

“Kebolehan mereka ini dapat digilap jika diberikan peluang oleh guru dan ibu bapa masing-masing.

“Terima kasih juga kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan, Fairul Nizam Roslan yang memberi sokongan kepada pasukan ini serta beberapa agensi lain terlibat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2386
Kongsi :
Previous post JPJ Melaka sedia tujuh kios mudahkan orang awam
Next post Calon-calon timbalan menteri dimuktamadkan dalam masa terdekat
Ubah saiz-+=