BACA, HAYATI DAN AMALKAN ISI AL-QURAN
AYER KEROH 18 Disember – Al-Quran sebagai panduan kepada seluruh umat Islam yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW bukan sekadar untuk ditayang atau dibaca semata-mata tanpa memahami maksud dan isi kandungannya.
Sebaliknya al-Quran perlu dipelajari agar setiap individu Muslim lebih menghayati seterusnya mengamalkan segala isi yang terkandung dalam kitab suci itu.
Bagi memantapkan lagi penghayatan mengenai al-Quran, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Yayasan Taqwa MAIWP menganjurkan Program Intensif Celik Al-Quran Bersama Saudara Baru Negeri Melaka Tahun 2024 berlangsung pada 13 hingga 15 Disember lalu.
Menurut perkongsian di Facebook rasmi MAIM, program itu melibatkan seramai 80 peserta dalam kalangan saudara baharu mualaf Negeri Melaka.
“Jangan berfikiran kita sudah bergelar Muslim, dilahirkan dalam keluarga Muslim, tidak perlu baca dan fahami isi terkandung dalam al-Quran, ini adalah satu tanggapan yang salah, perlu diperbetulkan semula.
“Mari beramai-ramai membudayakan amalan membaca al-Quran, tidak kira sama ada di rumah, pejabat atau sekolah. Manfaatkan setiap masa terluang untuk baca al-Quran, jika bukan kita siapa lagi, kalau bukan sekarang bila lagi,” katanya.
Program dirasmikan oleh Setiausaha MAIM, Shaifulfazlee Mohamad itu memberi peluang kepada saudara baharu dan mualaf untuk mengenal serta mendalami pengertian sebenar al-Quran.
“Diharapkan usaha murni seperti ini akan berterusan dan menjadi pencetus kepada budaya atau amalan membaca al-Quran pada setiap hari. Semua umat Islam perlu baca serta mendalami isi serta maksud al-Quran,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.