Sorting by

×

Babi hutan merayau dalam kampung

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

PANTAI KUNDOR 16 Jun – Penduduk Kampung Bukit Darat, Tanjung Kling di sini, berharap pihak berkenaan mengambil tindakan sewajarnya berhubung babi hutan yang dibimbangi boleh mengancam keselamatan dan nyawa mereka.

Seorang penduduk, Nordin Abu Hassan, 57, berkata sejak dua minggu lalu, semakin banyak babi hutan memasuki kawasan kampung berbanding hanya mencari makan dalam hutan berhampiran kampung sebelum itu.

“Saya amat bimbang haiwan itu menyerang penduduk, terutama kanak-kanak dan warga emas yang sukar menyelamatkan diri berbanding orang muda.

“Sebelum ini, babi hutan merayau mencari makan pada waktu senja dan malam, tapi sekarang ia merayau tanpa mengira waktu,” katanya ditemui semalam.

Seorang lagi penduduk, Abdul Ghani Md Ali, 48, berkata haiwan itu bukan setakat merosakkan tanaman penduduk seperti pisang, ubi kayu dan sayur-sayuran, malah menyelongkar tong sampah untuk mencari makan.

“Paling banyak haiwan itu dapat dilihat pada waktu senja kerana ketika itu orang sudah masuk ke dalam rumah dan kawasan kampung menjadi lengang dan memudahkannya mencari makan.

“Kami tidak mahu kejadian seorang penduduk Kampung Pantai Rombang dirempuh babi minggu lalu berlaku di kampung kami pula,” katanya.

Dalam kejadian pada jam 9 malam, 9 Jun lalu, pelajar sekolah pondok, Tuah Mohd Iskandar Osman, 15, retak tulang bahu dan patah lengan kiri selepas motosikal ditungganginya terbabas akibat dirempuh seekor babi hutan.

Ketika kejadian, remaja terbabit dalam perjalanan untuk menghantar makanan kepada datuk saudaranya kira-kira 100 meter dari kediamannya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) negeri, Mohd Firdhaus Mahmood berkata, aktiviti kawalan konflik tidak dibenarkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang.

Bagaimanapun, pegawai PERHILITAN sudah menembak 12 babi di Pantai Rombang pada 11 Jun lalu berikutan kejadian remaja terbabiti dirempuh babi dua hari sebelum itu, katanya.

Beliau berkata, aktiviti menembak babi yang tergolong sebagai aktiviti kawalan konflik hanya boleh dilakukan jika ada kecemasan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2207
Kongsi :
Previous post ‘Good Game’ Harimau Malaya!- Reezal Merican
Next post Dua sekawan pusing Semenanjung, sebar mesej kemerdekaan