Sorting by

×

B40 ceria terima insurans MyTenang

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER LIMAU 6 Feb – Hanya rasa syukur mampu diucapkan 93 anggota komuniti B40 yang memperoleh perlindungan insurans MyTenang secara percuma hari ini.

Mereka amat bersyukur kerana tanpa perlu membayar walau sesen pun premium, mereka layak menerima skim perlindungan insurans MyTenang yang memperuntukkan RM30,000 bagi kematian akibat kemalangan dan RM10,000 kematian tidak membabitkan kemalangan.

Bagi Zulkifli Hussain, 54, peluang yang diperoleh hari ini amat menggembirakannya kerana perlindungan itu sekurang-kurangnya meringankan beban anggota keluarganya.

“Jika saya meninggal dunia, sekurang-kurangnya ada wang perbelanjaan yang saya tinggalkan untuk isteri, Yusrina Yusof, 47, dan tiga anak berusia antara 20 hingga 25 tahun.

“Saya amat bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada kerajaan kerana menyediakan skim perlindungan insurans MyTenang yang membantu keluarga B40 seperti saya,” katanya selepas program penerangan dan pendaftaran pemegang polisi insurans MyTenang di Balai Raya Kampung Bukit Pinang, di sini hari ini.

Sesi penerangan disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Fazil, Azian Abdul Rahim manakala pendaftaran dibuat kakitangan syarikat berkenaan.

Program itu diadakan dengan kerjasama Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Cawangan Masjid Tanah.

Selain memberikan penjelasan, Azian turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada beberapa asnaf.

Azian (kanan) menyampaikan sumbangan kepada asnaf sambil diperhatikan Ismail Sanid di Balai Raya Kampung Bukit Pinang, Masjid Tanah hari ini.
– Foto DIN AHMAD

Azian berkata, kerajaan memilih MCIS Life Berhad (MCIS) bagi melaksanakan program MyTenang di seluruh negara manakala Kumpulan Fazil dilantik oleh MCIS sebagai syarikat pelaksana program berkenaan, mulai Jan lalu.

Beliau berkata, anggota komuniti B40 berusia antara 18 hingga 60 tahun layak menyertai program berkenaan tanpa mengambil kira tahap kesihatan mereka.

“Kami sudah mendaftar lebih 1,000 orang di Melaka dan Kedah sejak Jan lalu dan akan terus membuat pendaftaran di setiap negeri hingga hujung tahun ini.

“Jadi anggota komuniti bolehlah mendaftar untuk mendapatkan skim insurans berkenaan melalui http://online.mcis.my,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

635
Kongsi :
Previous post COVID-19: Hampir 500 kes baharu di Melaka, lebih 10,000 dalam negara
Next post Cadangan gaji minimum RM1,500 jejaskan pemulihan ekonomi – MEF
Ubah saiz-+=