Azmin dakwa akar umbi UMNO mahu kerjasama dengan Bersatu

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

AYER LIMAU 24 Okt – Pemimpin dan akar umbi UMNO didakwa mahu parti itu bekerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa, beliau menerima maklumat berkenaan kerana mereka mahu kuasa politik Melayu kekal.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, PN dan Bersatu tidak mahu mencampuri hal ehwal dalaman UMNO tetapi menghormati pandangan pemimpin dan akar umbi terbabit.

“Pandangan Presiden UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) tidak mahu bekerjasama dengan BERSATU adalah pandangan beliau.

“Bagaimanapun, saya dapat banyak maklumat pemimpin dan akar umbi UMNO, mereka mahu diwujudkan kerjasama dengan Bersatu tetapi itu adalah masalah dalaman UMNO dan kami tidak mahu campur,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program perjumpaan dengan jentera pilihan raya PN Bahagian Masjid Tanah, di Dewan Tan Sri Abu Seman Yusof, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Bersatu Bahagian Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin; Pesuruhjaya PAS Kawasan Masjid Tanah, Imran Abdul Rahman dan Ketua Gerakan Bahagian Masjid Tanah, Lee Kong.

Katanya, UMNO perlu membuat keputusan muktamad sama ada mahu bekerjasama atau sebaliknya dan biar rakyat membuat pilihan mengenai yang mana satu parti yang mementingkan perpaduan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, PN dan Bersatu tidak pernah menutup pintu kepada perbincangan dengan mana-mana parti, termasuk UMNO jika parti berkenaan mahu berbincang sebelum penamaan calon pada 8 November ini.

“Kita tidak pernah menutup pintu kepada mana-mana pihak tetapi masa semakin suntuk kerana sekarang sudah hendak sampai penamaan calon tetapi UMNO masih belum muktamad,” katanya.

Sehubungan itu, PN akan mengumumkan pembahagian kerusi dalam kalangan komponen PN terutama Bersatu dan PAS tidak lama lagi.

Ditanya sama ada pembahagian 28 kerusi itu sama rata antara Bersatu dan PAS, beliau berkata, perbincangan lanjut sedang dijalankan dan akan diputuskan tidak lama lagi.

“PAS ada kekuatan sendiri, mereka sudah lama ada di Melaka dan kita ada Gerakan yang mewakili semua kamu manakala Bersatu parti baharu tetapi kita ada rekod cemerlang mentadbir negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

474
Kongsi :
Previous post Melayu ditindas 22 bulan zaman PH, dakwa Najib
Next post Buat kecoh, Idris didakwa ‘gila talak’
Ubah saiz-+=