Sorting by

×

Azizulhasni, Shah Firdaus kuasai kejohanan trek elit Victoria, Harrif gegar Turki

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

KUALA LUMPUR 21 Feb. – Jaguh berbasikal trek negara Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom berada di landasan tepat menjelang Sukan Olimpik Tokyo apabila meraih penamat 1-2 acara pecut di Kejohanan Berbasikal Trek Elit Victoria semalam.

Azizulhasni, 33, mencatat 10.126 saat (s) pada sesi kelayakan sekali gus mengungguli kedudukan carta dalam saingan yang berlangsung di Velodrom Pusat Sukan Antarabangsa Darebin di Melbourne.

Muhammad Shah Firdaus pula berada di kedudukan ketiga terpantas dalam kelayakan dengan 10.186s manakala pelumba Blackburn Cycling Club, Sam Gallagher berada di kedudukan kedua dengan 10.171s.

Pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu mengatasi pelumba Brunswick Cycling Club, Mace Colson pada peringkat suku akhir sebelum menyingkirkan bekas juara keirin remaja dunia, Conor Rowlyer (Blackburn) di separuh akhir.

Sementara Muhammad Shah Firdaus pula menewaskan dua pelumba Blackburn, Sean Cleary dan Gallagher masing-masing di suku akhir dan separuh akhir.

Kedua-dua pelumba negara yang berpangkalan di Melbourne itu menjalani latihan di bawah kendalian ketua jurulatih berbasikal trek negara John Beasley, dalam persiapan ke Sukan Olimpik Tokyo, yang mana Azizulhasni atau nama julukannya ‘The Pocket Rocketman’, adalah harapan untuk meraih emas pertama negara di temasya berprestij dunia itu.

Sementara itu, satu lagi kejayaan gemilang sukan berbasikal negara diperolehi pelumba berbasikal lebuh raya Mohd Harrif Saleh dari pasukan Terengganu Cycling team (TSG) yang menjuarai Grand Prix (GP) Velo Manavgat di Turki.

Pelumba berusia 32 tahun itu menamatkan perlumbaan sejauh 147.5 km selepas merekodkan tiga jam 13 minit 35 saat untuk kemenangan sulungnya selepas setahun tidak menyertai mana-mana perlumbaan berikutan pandemik COVID-19.

Pelumba pasukan Mazowsze Serce Polski, Alan Banaszek dan Andriy Kulyk dari pasukan Ukraine masing-masing menamatkan perlumbaan di tempat kedua dan ketiga manakala pelumba pecut Andrea Guardini yang tidak asing dalam perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) yang mewakili pasukan Giotti Victoria -Savini Due di tempat keempat.

Seorang lagi pelumba TSG Youcef Reguigui dari Algeria di tempat ketujuh.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

919
Kongsi :
Previous post Vaksin lalui proses penilaian sewajarnya, dipantau rapi selepas digunakan
Next post Cemar sungai, syarikat pelupusan sampah dikompaun RM10,000.
Ubah saiz-+=