Azam Baki nafi mempunyai kawalan ke atas banyak syarikat

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

PUTRAJAYA, 5 Jan – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki hari ini menafikan tuduhan beliau mempunyai kawalan ke atas banyak syarikat termasuk syarikat konglomerat, serta menyifatkannya sebagai tohmahan yang berniat jahat.

Azam berkata ia merupakan satu penipuan besar untuk memberi persepsi negatif terhadapnya.

“Ia digambarkan seolah-olah saya mengawal satu konglomerat yang besar di bawah saya demi untuk menjatuhkan reputasi saya sebagai KP (Ketua Pesuruhjaya) dan institusi SPRM,” katanya dalam sidang media khas di sini hari ini berhubung beberapa dakwaan dan isu yang tular kebelakangan ini.

Azam berkata setelah mendapatkan nasihat peguam, beliau telah membuat keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang telah mencemarkan reputasi beliau dan juga SPRM.

Beliau dalam sidang media itu berkata terdapat usaha beberapa pihak berkepentingan atau mempunyai agenda yang tidak baik terhadap SPRM, yang mengambil kesempatan untuk menghakis kepercayaan masyarakat terhadap SPRM dengan menjadikan KP sebagai sasaran serangan bertubi-tubi.

Malahan mereka juga telah mengunakan beberapa pihak tertentu untuk memberi tekanan ke atas SPRM, katanya.

“Kami telah kenal pasti siapa dan apa agenda mereka,” katanya.

Azam berkata apa yang mereka tulis adalah untuk menjatuhkan reputasinya dan beliau juga menyedari ia antara cabaran yang dihadapi oleh hampir semua KP SPRM.

Dalam melaksanakan tugas, SPRM banyak membuat tangkapan sama ada orang kenamaan atau orang biasa, sudah tentu ia menimbulkan kemarahan beberapa pihak, katanya.

“Saya sudah berkhidmat selama 37 tahun, saya mungkin mempunyai ramai musuh dan berkemungkinan ramai yang tidak suka dengan saya,” katanya. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

712
Kongsi :
Previous post LPPR: Tiada pencanggahan kepentingan dalam urusniaga saham libatkan Azam Baki
Next post Mahkamah tolak permohonan Farid Kamil untuk kebenaran merayu terhadap sabitan dan denda
Ubah saiz-+=