Sorting by

×

Ayam dan telur cukup, tiada kenaikan harga

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

AYER KEROH 24 April – Bekalan ayam dan telur di negeri ini mencukupi bagi menampung keperluan pengguna menjelang perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.

EXCO Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem berkata, bagi memastikan ianya berjalan lancar, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka melakukan pemeriksaan setiap hari di pasaraya, bazar Ramadan dan Aidilfitri.

Menurutnya, menjelang perayaan Aidilfitri ini, permintaan pengguna terhadap ayam dan telur agak tinggi menyebabkan bekalannya agak terhad di sesetengah pasaraya.

“Misalnya pasaraya Mydin, kita dapati bekalan telur agak kurang namun mereka mempunyai sumber pembekal yang banyak sekali gus mampu menampung keperluan pengguna.

“Begitu juga dengan bekalan ayam, setakat ini ia masih mencukupi dan mampu menampung keperluan pengguna terutama menjelang perayaan Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan pemeriksaan mengejut bersama Bahagian Penguatkuasaan KPDNHEP di Bazar Aidilfitri dan Jualan Keluarga Malaysia di Pasaraya Mydin di sini malam tadi.

EXCO Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem

Mengulas mengenai pemeriksaan itu, menurut Hee Sem, pihaknya berpuas hati dengan harga yang dikenakan oleh peniaga bazar malah ianya didapati lebih murah berbanding harga asal.

“Misalnya pasaraya Mydin, bagi menjamin bekalan telur cukup menampung keperluan pengguna, mereka menghadkan jualan iaitu dua papan telur untuk satu keluarga bagi semua gred.

“Begitu juga dengan bekalan ayam, mereka akui memang permintaan agak tinggi sepanjang Ramadan ini dan mereka sudah minta pembekal tambah bekalan menjelang Aidilfitri nanti,” ujarnya.

Sementara itu, katanya, sejak 2 April lalu, KPDNHEP telah memeriksa 2,507 premis perniagaan dan sebanyak 30 kes pelbagai kesalahan dilakukan oleh pemilik premis.

Daripada jumlah itu, 16 kes tidak pamer harga barang di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 melibatkan RM3,500 nilai kompaun.

“Sepanjang tempoh itu juga, sebanyak RM18,753 nilai rampasan diperolehi atas pelbagai kesalahan yang dilakukan oleh pemilik premis,” katanya.

Pengguna yang mempunyai maklumat berhubung salah laku peniaga boleh menyalurkan aduan melalui WhatsApp 019-279 4317; Mobileapps Ez ADU KPDNHEP; portal e-aduan.kpdnhep; pusat panggilan 1-800-886-800; emel di [email protected] atau melalui Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-8882 6088/6245.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

796
Kongsi :
Previous post MOSTI cadang perkenal industri, teknologi dron dalam silibus STEM
Next post Buat laporan polis jika nama dikaitkan dalam isu PASLeak – Ab Rauf
Ubah saiz-+=