Awie semakin cerewet
BANDA HILIR – Album terbaharu Wings yang dijangka siap pada penghujung tahun ini bakal mempertaruhkan 10 lagu baharu yang diyakini mampu bersaing dengan lagu anak muda zaman kini.
Vokalis Wings, Datuk Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman berkata pembikinan album itu masih berjalan dan pemilihan lagu masih belum dimuktamadkan berikutan terikat dengan jadual persembahan dan aktiviti kembara konvoi yang padat.
Katanya, pemilihan lagu perlu dilakukan dengan lebih teliti dan hanya yang terbaik termasuk susunan muzik dan lirik dipertaruhkan dalam album terbaharu itu.
“Kita sudah merakamkan lebih kurang 16 hingga 20 lagu, sekarang hanya tinggal memilih dan menambah baik, mungkin tambah lagu-lagu lain.
“Sekarang buat lagu bukan suka-suka macam dulu, budak-budak zaman sekarang sudah ada banyak choice (pilihan), kita pun tidak perlu risau dengan bayaran ‘studio hours’ kerana sudah ada studio sendiri, jadi fokus untuk hasilkan muzik, lirik, nyanyian yang bagus dan terbaik.
“Biarlah lagu itu sendiri yang ‘compete’ dengan lagu baharu zaman sekarang. Pembikinan lagu ini very subjektif, kalau musim ini peminat hendak lagu sebegini, tiba-tiba musim berubah, mereka pergi ke lagu-lagu lain pula,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Anti-Scam Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2022 – Awie Ride di sini, 2 Ogos lalu.
Awie berkata, album itu lebih istimewa kerana selain diterbitkan komposer Datuk M Nasir, selain turut mendapat sentuhan dalam kalangan ahli kumpulan itu sendiri.
“Jadi kita ikut sahaja apa komposer dan prosedur buat, tapi kita kena berhati-hati juga, kalau tidak okay kerana kita ada lima kepala dan kelima-limanya menjadi produser untuk album ini disamping Datuk M Nasir sebagai sifu dalam album itu.
“Persembahan kumpulan Wings dalam masa terdekat ini akan diadakan di Sabah dan Sarawak pada 20 Ogos manakala bulan September nanti, Wings is in another level apabila dijemput untuk mengadakan persembahan di Formula 1 Singapura.
“Siap sahaja album baharu tahun ini, baru kita fokus promosi album pada tahun depan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.