Awie mahu konvoi kempen anti-scam ke Sabah Sarawak
BANDA HILIR 2 Ogos – Pelakon dan penyanyi rock tanah air, Datuk Awie dijangka meneruskan konvoi kesedaran Kempen Anti-Scam Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2022 -Awie Ride ke Sabah dan Sarawak.
Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman berkata, perancangan untuk membawa kempen kesedaran ke dua negeri itu sudah ada namun memerlukan perbincangan teliti selain melihat pada kekosongan jadual seninya.
“Untuk ke Sabah dan Sarawak, ya kita ada perbincangan namun ia ‘makan hari’ juga kerana negeri itu besar, saya sendiri pernah ‘ride di Sabah sahaja selama 12 hari.
“Jelajah di Semenanjung Malaysia sahaja mengambil masa lebih kurang 10 hari tetapi terhenti sekejap pada Sabtu dan Ahad berikutan kekangan kerja sebelum sambung semula ‘ride’ Isnin hingga Khamis,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis pelancaran kempen berkenaan di Mahkota Parade di sini, hari ini.
Majlis pelancaran itu dirasmikan oleh Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Abu Samah yang turut dihadiri Ketua Penolong Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Samsudin Basir.
Awie yang turut membawa penunggang motosikal berkuasa tinggi daripada Wings Motor Gang Society berkata, jenayah komersial membabitkan ‘scammer’ dilihat semakin meruncing sehingga dirinya turut menjadi mangsa menerima panggilan daripada sindiket itu.
Atas kesedaran itu, dirinya terpanggil untuk meuar-uarkan kepada masyarakat supaya lebih berhati-hati menerima panggilan tidak dikenali.
Menurutnya, lebih menyedihkan lagi apabila pemanggil yang membuat panggilan palsu itu terdiri daripada golongan muda terutama membabitkan wanita.
“Baru-baru ini di Batu Pahat semua tangkapan budak-budak muda, majoritinya perempuan. Jangan jadikan ini (scammer) sebagai kerjaya.
“Suatu hari nanti apabila ditanya pada mak dan ayah, anak kerja apa? anak aku ‘scammer’, mahukah kita jadi begitu? menyedut hasil kerja orang untuk kekayaan sendiri,” katanya.
Selepas 10 hari menyertai siri jelajah itu, Awie melihat kempen kesedaran itu menerima sambutan dan respons yang baik untuk mengurangkan jenayah komersial dalam masyarakat.
“Saya dapat laporan daripada Polis Melaka, ada sedikit penurunan, mungkin ini (kempen) satu petanda sihat jika semua rakyat ‘alert’ dan berhati-hati dan bersikap bijak,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.