‘Awas, tendangan maut ternakan korban’
TANJUNG BIDARA 3 Ogos – Dengan hanya satu tendangan kaki belakang lembu atau kerbau korban, boleh menyebabkan kecederaan parah atau lebih buruk lagi, maut.
Bukan mudah untuk menumbangkan lembu atau kerbau korban kerana jika tersilap langkah, maut atau kecederaan parah menunggu, terutama ketika ingin memasang tali pada kaki haiwan berkenaan.
Dengan satu tendangan kaki belakang sahaja, sesiapa yang terkena bukan setakat cedera parah, malah boleh mengancam nyawa.
Untuk menumbangkan lembu atau kerbau, kaki belakang haiwan itu harus dijerut sebelum ditarik kuat dan untuk memasukkan tali pada kaki berkenaan, ia amat berbahaya kerana haiwan terbabit mempunyai daya tendangan yang bukan setakat kuat, malah laju.
Aspek itulah yang sering terpasak dalam kepala Mohd Sani Mohd Hashim, 41, setiap kali ingin menumbangkan lembu dan kerbau korban atau yang disembelih untuk dijual menjelang Aidilfitri atau Aidiladha.
“Perkara itu tampak mudah tetapi sedikit sahaja kita leka, padah menunggu dan saya amat berhati-hati semasa ingin memasukkan tali pada kaki belakang sama ada kiri atau kanan.
“Hanya apabila tali sudah berjaya dijerut kuat pada kaki itu, barulah kami boleh menarik untuk menumbangkannya dan selepas tumbang, barulah kedua-dua kaki hadapan dapat diikat,” katanya ketika ditemui di kandang lembu Kampung Solok Binjai, Pengkalan Balak, di sini baru-baru ini.
Mohd Sani dan empat adik-beradiknya serta beberapa anak saudara mengambil upah menumbangkan, menanggalkan kulit dan memotong lembu dan kerbau korban pada beberapa bahagian utama seperti empat paha, selain tulang rangka dan tengkuk sebelum diserahkan kepada petugas yang menghiris daging dan menimbangnya.
Mereka mengambil upah daripada pihak pengurusan masjid dan individu yang melakukan ibadah korban sejak 10 Zulhijjah hingga tiga hari Tasyrik pada 11 hingga 13 Zulhijjah.
Walaupun sudah tidak memelihara lembu lagi sejak kira-kira empat tahun lalu, Mohd Sani dan anggota keluarganya sering membeli lembu dan kerbau untuk disembelih sebelum dijual di beberapa lokasi menjelang Aidilfitri dan Aidiladha.
Beliau berkata, setakat ini belum pernah perkara buruk berlaku padanya atau anggota pasukannya ketika menumbangkan lembu dan kerbau kerana selain faktor takdir yang menyebelahi mereka, aspek penjagaan keselamatan tidak pernah diabaikan.
“Alhamdulillah, setakat ini saya atau pasukan saya tidak pernah ditendang lembu atau kerbau tetapi kami pernah mendengar khabar, ada penternak atau penyembelih lembu dan kerbau pernah terkena tendangan haiwan itu yang menyebabkan kecederaan parah,” katanya.
Beliau berkata, jarak antara lembu dan kerbau dengan sesiapa yang ingin memasang tali pada kaki belakang haiwan itu amat penting dan ia harus dipastikan sentiasa berada pada kedudukan tidak terjangkau oleh tendangan padu haiwan terbabit.
Katanya, lembu dan kerbau mampu membuat tendangan ke arah belakang dan tepi dengan kaki belakang tetapi kaki hadapan tidak mampu menendang ke arah hadapan.