Awas, polis pantau ‘posting’ raya dalam Facebook
SEREMBAN 13 Mei. – Pemeriksaan polis sempena perayaan Aidilfitri tidak hanya tertumpu kepada sekatan jalan raya (SJR) tetapi ‘posting’ atau hantaran masyarakat dalam media sosial seperti Facebook juga dipantau bagi memastikan arahan ditetapkan kerajaan untuk mengekang penularan wabak COVID-19, dipatuhi.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Muhammad Mat Yusop berkata, meskipun jalan raya beberapa hari ini lengang dan kenderaan masuk ke negeri itu juga kurang, pemantauan serta pemeriksaan menyeluruh tetap dilakukan lebih 160 anggota polis di sini.
“Selepas solat sunat Aidilfitri mungkin masyarakat akan kunjung-mengunjung, jadi hari ini pasukan pemantau ditambah untuk melakukan pemeriksaan di sekitar taman-taman perumahan dan sempadan daerah di negeri ini.
“Kalau pasukan menerima ‘posting’ gambar-gambar tertentu yang menunjukkan tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) tindakan akan diambil,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di SJR Tol Senawang hari ini.
Muhammad juga berkata hasil pemantauan di beberapa masjid utama di negeri ini, pihaknya mendapati pematuhan SOP dilaksanakan dengan baik.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, pemeriksaan rumah ke rumah pada hari raya hari ini mendapati kawasan perumahan di Nilai Impian tiada sebarang aktiviti yang melanggar SOP.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.