Sorting by

×

Awas, polis jengah kediaman yang ‘meriah’ waktu Raya

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

KUALA LUMPUR, 20 Mei  — Jangan terkejut apabila ada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM)  datang memeriksa rumah anda sewaktu sambutan perayaan nanti.

Ini kerana Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan membuat rondaan di kawasan kediaman semasa sambutan perayaan bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan ziarah dipatuhi.

Hal ini diumumkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media pada Selasa yang antara lain dilaksanakan dalam usaha pihak berkuasa mengawal penularan COVID-19 di samping pematuhan masyarakat terhadap SOP sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Kerajaan sebelum ini menetapkan aktiviti ziarah-menziarahi semasa perayaan yang akan dirai dalam masa terdekat ini hanya pada hari pertama sambutan dan terhad kepada 20 orang, bergantung pada saiz kediaman.

Tidak cukup dengan itu, polis juga akan bertindak tegas termasuk mengenakan kompaun terhadap individu yang cuba melakukan pergerakan rentas negeri untuk menyambut Aidilfitri.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias, ini kerana tindakan segelintir individu yang melakukan perjalanan rentas negeri tanpa alasan munasabah hanya mengganggu pergerakan petugas barisan hadapan yang kini berusaha mengekang penularan COVID-19.

Tindakan tidak bertanggungjawab itu mengganggu kelancaran pergerakan kenderaan perkhidmatan perlu untuk sampai ke destinasi tertentu.

Selain kunjung mengunjung dan balik kampung, pastinya aktiviti menziarah kubur juga antara topik hangat ketika ini, namun menurut kerajaan, SOP bagi aktiviti itu semasa Aidilfitri hanya akan dikeluarkan sekiranya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) merasakan ada keperluan untuk berbuat demikian

Ismail Sabri berkata buat masa ini KKM hanya menasihati orang ramai supaya tidak menziarahi kubur seperti kelaziman yang dibuat setiap kali hari raya bagi mengawal penularan wabak COVID-19 dalam komuniti.

Jika kesemua ini dipatuhi, besar kemungkinan, Malaysia berada di landasan yang betul dalam usaha melihat angka kes positif baharu COVID-19 berada pada jumlah kurang dari 10, tidak lama lagi.

Ini dijelaskan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada Selasa yang antara lain menyifatkan, pihaknya masih terus memburu sasaran itu dan melihat kepada tempoh dua minggu sejak awal bulan ini, kes-kes baharu COVID-19 memang tidak menampakkan kenaikan ketara, namun ia juga tidak berkurangan sepantas yang diharapkan.

Pelaksanaan PKP membolehkan angka jangkitan baharu kes postif penyakit itu berada pada dua digit, dan yang lebih penting ialah tiada lonjakan secara tiba-tiba dalam jumlah kes positif baharu yang dikesan.

— BERNAMA

Views:

404
Kongsi :
Previous post Sharp drop in spending on non-essentials
Next post Kerajaan lulus penggambaran selepas Aidilfitri, hadiah Hari Raya paling berharga – FDAM
Ubah saiz-+=