Awas anda diperhatikan RM-SBV

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

MELAKA 18 Mac. – Meskipun sudah boleh ke stadium, penonton tidak boleh sewenang-wenangnya berasa bebas kerana gerak-geri mereka diperhatikan oleh sekumpulan anak muda yang dikenali sebagai Rakan Muda Sport Bubble Volunteer (RM-SBV).

RM-SBV ini akan bertindak sebagai pemantau dan menegur penonton yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika asyik menyaksikan perlawanan bola sepak Liga Super Malaysia dan Liga Perdana Malaysia di Stadium Hang Jebat bermula 1 April.

Pengerusi Jawatankuasa NGO, Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen berkata, ia bagi memastikan tahap SOP dan aspek keselamatan dalam kalangan penonton dipatuhi ketika berada di stadium atau di premis sukan lain.

“Jika anda tidak memakai pelitup muka atau tidak ikut penjarakkan fizikal, mereka ini (RM-SBV) akan menegur supaya mematuhi SOP tersebut.

“Selain RM-SBV, premis sukan lain juga akan dipantau oleh kakitangan Jabatan Belia dan Sukan negeri dan Stadium Hang Jebat adalah fasiliti yang sentiasa dipantau setiap kali perlawanan bola sepak diadakan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat pasca Exco NGO, Pembangunan Belia dan Sukan negeri.

Bermula 1 April depan, kerajaan bersetuju membenarkan kemasukan penonton ke stadium bagi kejohanan sukan seperti Liga Malaysia mengikut prosedur SOP Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Bagaimanapun, kebenaran itu terhad di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hanya 10 peratus kapasiti penonton atau 2,000 orang dengan kawalan penyeliaan manakala PKP Pemulihan (PKPP) hanya 25 peratus kapasiti penonton atau 8,000 orang dengan kawalan penyeliaan sepanjang masa.

Selain itu menurut Mohd. Rafiq, selain Stadium Hang Jebat, terdapat 75 premis sukan lain menempatkan pasukan pemantau terlibat.

Usaha itu, katanya, membolehkan kerajaan untuk menilai keberkesanan pematuhan SOP dalam membenarkan penonton hadir ke stadium untuk menyaksikan perlawanan bola sepak pada masa akan datang.

Pada masa yang sama, katanya, pihaknya mengalu-alukan penyertaan belia berusia 18 tahun ke atas yang berminat menjadi sebahagian anggota RM-SBV.

“Mereka ini menerima elaun RM35 sehari dan bertugas mengikut jadual waktu yang disusun oleh pejabat Belia dan Sukan daerah masing-masing,” katanya.

Mereka yang berminat boleh mengemukakan permohonan melalui laman web Jabatan Belia dan Sukan Negeri dan calon yang layak akan dipanggil untuk menjalani latihan pemantauan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

644
Kongsi :
Previous post Sukarelawan MyVac dicari
Next post PDRM uji set solar, kamera pemantauan bantu logistik di SJR
Ubah saiz-+=