AUTISME: KENA CEPAT BERTINDAK!
Masa Membaca:3 Minit, 59 Saat
Oleh: Dr. Azri Fikry
Doktor Pakar Kanak-kanak,
Clinic Suite 3.28,
Putra Specialist Hospital Melaka
STATISTIK yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat pada Julai 2024 sangat membimbangkan. Dalam tempoh 10 tahun sahaja, jumlah kes Autisme yang dikesan telah meningkat secara drastik sebanyak 633 peratus!
Pada 2013, hanya 6,991 kes Autisme dikesan. Entah di mana silapnya, jumlah itu melonjak kepada 53,323 pada tahun lalu.
Mungkin kerana kesedaran yang semakin meningkat, kini lebih ramai ibu bapa yang mendapatkan pemeriksaan awal. Jumlah doktor yang mempunyai kepakaran juga semakin bertambah di sektor swasta untuk memudahkan tugas ibu bapa.
Tidak dinafikan, faktor genetik adalah punca utama. Topik ini tidak mudah dicernakan. Autisme tiada ujian darah khas untuk penentuan.
Ujian genetik yang dicadangkan adalah lebih bertujuan untuk mengenal pasti sama ada penghidap mempunyai sindrom lain selain Autisme.
Jika dibandingkan degan 30 tahun dahulu, pasti kita jarang mendengar kes-kes seperti ini. Ini membuatkan kita tertanya adakah ini penyakit yang baharu?
Perubatan adalah satu cabang ilmu yang semakin berkembang. Mungkin pernah ada dalam kalangan pembaca yang ada pelajar yang ‘lembab’ di sekolah rendah atau menengah sebelum ini?
Saya yakin, kebanyakan ibu bapa pelajar-pelajar ‘lembab’ ini tidak membawa ke perhatian doktor pakar perubatan sebelum ini. Faktor terbesar adalah kerana kita tiada ilmu.
Walaupun punca sebenar Autisme adalah genetik, banyak juga faktor-faktor lain yang dikaitkan dengan peningkatan kes Autisme.
GAJET
Faktor utama adalah penggunaan gajet berlebihan terutama pada golongan anak-anak kecil. Garis panduan yang dicadangkan oleh doktor pakar kanak-kanak adalah ‘kosong’ masa gajet sebelum berumur 24 bulan. Kenapa gajet ini ‘haram’?
Kita membesar tanpa gajet dahulu. Semuanya fizikal. Keseronokan kita membesar adalah bertemu sanak-saudara dan rakan-rakan. Kini, keseronokan itu diambil-alih oleh gajet. Diajak keluar makan di kedai pun mereka tidak berapa minat. Di kedai pula, interaksi tiada. Semua tertumpu kepada skrin petak di tangan.
Wajar kita sedar bahawa dua tahun pertama anak-anak memerlukan rangsangan fizikal, mental dan emosi. Ya, kita semua letih setelah seharian bekerja. Kalau boleh, anak yang dihantar ke pengasuh telah siap mandi dan makan malam setibanya kita di rumah asuhan. Banyak perkara perlu difikirkan, rumah bersepah, baju belum dicuci, seluar tak bergosok dan kerja sekolah anak-anak.
Suka atau tidak, kehidupan kita sebagai ibu bapa tidak akan dan tidak pernah mudah. Itulah hakikat dunia. Mungkin kita penuh dengan alasan di dada, tetapi masa yang telah pergi tidak akan datang Kembali. Hilangnya sumber ilmu paling berharga pada ibu bapa mereka, si kecil akan berpaling kepada gajet untuk mengisi ruang yang kosong.
Tiada guna kita menyesal ketika itu.
PEMAKANAN
Kita berada di zaman yang sedikit pelik. Kos barang semakin mahal, tetapi makanan yang kurang sihat dan diproses biasanya menjadi tular. Kempen demi kempen diadakan, namun kes diabetes dalam kalangan dewasa semakin naik.
Apa kaitan makanan berproses ini dengan kanak-kanak? Benda yang bersifat ringkas, tahan lama dan manis/masin, penuh dengan kandungan yang tidak sihat untuk perkembangan otak dan fizikal.
Anak akan kenyang seketika, tapi tiada nilai nutrisi kepada makanan yang ditelan.
Sering saya utarakan kepada ibu bapa pesakit, untuk kita mencapai kecemerlangan akademik anak-anak masa depan, ia bermula dengan kejayaan dalam membesarkan anak secara fizikal. Generasi kita ramai yang tinggi fizikal walaupun ibu bapa kedua-duanya rendah.
Sekiranya badan tidak dibekalkan dengan zat yang cukup, bagaimana mungkin yang dikejar akan tercapai. Membeli vitamin sebotol semata-mata bukanlah jawapan.
Kajian juga menunjukkan pemakanan gula dan makanan berproses secara berlebihan akan merencatkan perkembangan otak.
SALAH FAHAM
Sudah menjadi sifat manusia, kita sering mengaitkan penyakit berlaku disebabkan sesuatu. Sekitar dua dekad lepas, kita dimomokkan dengan vaksin MMR sebagai punca penyakit Autisme. Kajian demi kajian dilakukan, namun tiada satu pun yang berjaya membuktikan dakwaan ini.
Kemusykilan yang perlu dijawab juga adalah sikap ibu bapa. Ramai yang mempunyai anak ‘speech delay’ sering dilengahkan hingga tiba kepada saat sukar dipulihkan. ‘Dulu anak pertama pun sama’ dan ‘saya ingatkan tiada masalah’ kerap digunakan sebagai kayu ukur justifikasi tindakan.
Banyak kes ‘speech delay’ juga boleh dipulihkan jika dikenal pasti awal dan tindakan diambil.
Kita akan sentiasa sibuk, tak kiralah urusan kerja atau yang lain. Sekali lagi diingatkan, masa yang terlepas mustahil akan datang kembali.
KESIMPULAN
Bukan semua dikurniakan nikmat menjadi ibu bapa sepanjang perkahwinan. Tak kurang juga yang diuji dengan kesihatan anak-anak.
Namun begitu, tanggungjawab tetap datang kepada kita, suka atau pun tidak. Merungutlah, tidak salah. Mengadu kepada Tuhan, kita digalakkan. Namun semua rungutan dan aduan hendaklah dimulakan dengan usaha.
Wajib merancang. Gagal merancang, kita yang gagal.
**Rujukan data:
https://ova.galencentre.org/number-of-children-diagnosed-with-autism-in-malaysia-increased-by-663-from-2013-to-2023/
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.
Views:
70