Aura si melur
MACHAP 25 September – Berbudi pada tanah tidak pernah merugikan, sebaliknya membawa kepuasan apabila apa yang diusahakan menjadi dan pada masa yang sama menjana pendapatan lumayan.
Kerana ‘jatuh hati’ pada si bunga melur atau nama saintifiknya ‘Jasminum Sambac’ bekas pengurus sumber manusia, S Parameswari, kini tidak kisah berpanas dibawah terik mentari, kerana apa yang utama baginya tanaman diusahakan menjadi.
Wanita berusia 44 tahun ini berkata, idea untuk menceburkan diri dalam bidang pertanian dengan menanam bunga melur dicetuskan oleh suaminya pada 2018, selepas dia berhenti kerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa bagi tempoh agak lama.
Katanya, ketika itu dia langsung tidak ada pengetahuan mahupun mendapat pendedahan daripada mana-mana pihak mengenai bercucuk tanam apatahlagi untuk membuka sebuah kebun bunga melur.
“Saya tidak sangka dapat bertahan dan sampai ke tahap sekarang ini, kerana ketika itu ilmu saya mengenai pokok bunga melur memang kosong, lebih merisaukan modal permulaan semuanya menggunakan wang suami.
“Tetapi suami tetap beri sokongan malah turut menyiapkan tanah, jadi saya teruskan perancangan ini dan mula membuat kajian dengan melayari internet.
“Mungkin sudah rezeki, saya terjumpa pengusaha bunga melur yang sudah lama dalam bidang ini, selain itu saya turut mendapat bimbingan daripada pegawai Pejabat Pertanian, Daerah Alor Gajah,” katanya ketika ditemui di kebunnya di Tebong, di sini.
Menurutnya, meskipun tanggungjawab digalas sekarang jauh berbeza dengan pekerjaannya sebelum ini, dia bersyukur kerana sudah dapat menyesuaikan diri dengan keadah pengurusan kebun.
Parameswari berkata, permintaan bunga melur amat tinggi terutama dalam kalangan masyarakat India dan Cina.
Jelasnya pada kebiasaannya bunga melur digunakan dalam ucapara keagamaan selain perhiasan diri atau untuk menyegarkan persekitaran di kediaman.
“Jika saya habiskan masa seharian sekalipun cuma dapat kutip sekitar empat kilogram (kg) sahaja. Tetapi berbaloi kerana harganya jualan adalah sekitar RM60 satu kg.
“Malah ada pelanggan yang sanggup tawarkan harga tinggi iaitu antara RM80 hingga RM100 satu kg. Meskipun ada lebih 300 pokok meluar, saya tidak menang tangan untuk layan tempahan pelanggan yang kebanyakannya menjalankan perniagaan sekitar daerah Jasin ini,” katanya.
Ibu kepada tiga anak itu berkata, meskipun penjagaan pokok bunga meluar agak rumit, namun atas dasar minat dia menganggap semuanya sebagai satu cabaran.
“Bagai mendapat satu kepuasan dan ketenangan setiap kali saya dikelilingi pokok yang berbunga lebat. Setiap pagi apabila datang dan melihat pokok memutih dengan bunga perasaan seronok itu sukar digambarkan.
“Sudah pasti, untuk sampai ke tahap ini banyak cabaran terpaksa saya lalui. Pada peringkat awal saya terpaksa buang 30 pokok kerana tersalah beli, selain diserang serangga perosak, hasilnya pula tidak seberapa,” katanya.
Berkongsi perancangannya Parameswari memberitahu, dalam masa terdekat dia bercadang untuk menambah jumlah pokok agar dapat memenuhi permintaan pelanggan.
Namun, dia perlu melakukan perancangan rapi selain mencari pembantu untuk menguruskan kebun berkenaan yang semakin luas.
“Jika ada yang berminat untuk menceburkan diri dalam bidang ini saya amat mengalu-alukan mereka. Permintaan memang tinggi, kerana setiap bulan saya pasti ada pelanggan baharu,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.