Sorting by

×

‘Aunty Meenachi’ sudah tiada, kehilangan besar tokoh dondang sayang di Melaka – JKKN Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

AYER KEROH 6 Jun – Melaka kehilangan seorang tokoh dondang sayang daripada Etnik Chetti, G Meenachi yang meninggal dunia akibat sakit tua di Hospital Melaka jam 7.18 malam tadi.

Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri (JKKN) Melaka Ezlina Alias, mengesahkan mendiang menghembuskan nafas terakhir pada usia 91 tahun.

Namun ketika ini katanya, JKKN Melaka masih menunggu maklumat lengkap daripada pihak keluarga berhubung  kematiannya.

“JKKN Melaka merakamkan takziah kepada keluarga Aunty Meenachi dan ini adalah satu kehilangan besar bagi dondang sayang dan negeri Melaka khususnya.

“Beliau merupakan salah seorang tokoh pemantun dondang sayang dalam kalangan masyarakat Chetti, Melaka,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini malam tadi.

Menurutnya, mendiang yang dilahirkan pada 4 Januari 1930, adalah keturunan Chetti Melaka dan amat fasih dalam bahasa Melayu dan tidak mahir dalam bahasa Tamil.

Sejak dari kecil seawal 10 tahun lagi, beliau telah didedahkan dengan pantun dan dondang sayang di mana mewarisi bakat seni berpantun ini daripada keluarganya.

Ibunya merupakan pemain rebana dan bapanya adalah pemain muzik dan minat yang diasah itu kemudian telah meningkatkan kemahirannya dalam berpantun sehinggalah pernah mendapat bimbingan daripada penggiat dondang sayang terdahulu, Baba Kim Teck.

Sehingga usianya mencecah 90 tahun, tokoh ini masih mampu berpantun walaupun tidak seaktif dahulu atas faktor kesihatan.

Kerajaan negeri serta JKKN Melaka adalah antara jabatan dan agensi yang telah memberi sumbangan atas jasa dan pengorbanan beliau dalam memartabatkan kesenian pantun.

Antaranya adalah sumbangan Penggiat Seni Dondang Sayang sempena Panggung Seni Tradisional Cak Kun Cak pada tahun 2019.

Dondang sayang adalah sejenis nyanyian pantuan yang popular dalam kalangan masyarakat Melayu dan Cina Peranakan di Melaka yang dikatakan bermula pada zaman Kesultanan Melayu Melaka sekitar kurun ke-15.

Setiap persembahan dondang sayang diminati oleh beberapa golongan masyarakat seperti Melayu, Cina Peranakan, India, dan Portugis terutamanya di Melaka.

 

 

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1045
Kongsi :
Previous post Lima kematian COVID-19 direkodkan
Next post Masyarakat masih tidak faham keperluan SJR – Polis
Ubah saiz-+=