
ATUR PERTEMUAN SELESAI KEMELUT PR1MA KLEBANG 2
KLEBANG 14 April – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong akan mencari jalan penyelesaian terbaik bagi membantu menyelesaikan masalah yang berlaku membabitkan projek Residensi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) Klebang 2.
Menurut beliau, ia susulan pihaknya menerima aduan daripada pembeli yang sehingga kini masih belum dapat menduduki rumah tersebut ekoran beberapa masalah termasuklah kelewatan pembinaan pembetung.
Jelasnya, selaku wakil rakyat, pihaknya telah membawakan masalah itu ke pengetahuan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta PR1MA, selain akan menyelaras pertemuan bersama pelbagai pihak terlibat, termasuk pembeli rumah dan wakil media.
“Pertemuan ini perlu diatur supaya kita dapat mencari satu penyelesaian terbaik untuk mempercepatkan projek Residensi PR1MA Klebang 2, termasuk melibatkan aspek infrastruktur, utiliti dan sebagainya.
“Sebenarnya dua tahun lepas juga saya telah turun ke tapak projek ini kerana dimaklumkan progres pembinaannya agak lambat dan Ramadan lalu sekali lagi saya bertemu pembeli yang memaklumkan masih berlaku masalah.
“Jadi sebagai wakil rakyat, saya akan membantu sebaik mungkin dalam memastikan masalah ini dapat diselesaikan dengan baik,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang di Masjid Al-Aminin, Batang Tiga, di sini, hari ini.
Majlis itu diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Abd Rahman.
Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.
Sebelum ini, Melaka Hari Ini melaporkan Kerajaan Negeri memberi kata dua kepada PR1MA agar projek Residensi Klebang 2 itu dapat disiapkan pada tahun ini.
Ia susulan ada pembeli yang kini sudah membayar pinjaman perumahan, namun sehingga kini masih belum dapat menduduki rumah yang dibeli.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.