Sorting by

×

Atuk ‘pilot’ belon udara panas

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

KUALA LUMPUR 16 Julai – Menerbangkan belon udara panas (hot air ballon) setinggi 170 meter menjadi antara pengalaman tidak dapat dilupakan Nordin Hussin sepanjang 25 tahun aktif dalam aktiviti rekreasi itu.

Nordin, 70, berkata kejayaan itu direkodkan ketika mengikuti program bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Johor Bahru, Johor.

Malah usia emas atau sudah bergelar ‘atuk’ bukan penghalang bagi Nordin untuk terus aktif terbang bersama belon udara panas yang dianggap sudah sebati dengan hidupnya.

Meskipun digelar senior, beliau tidak pernah leka atau mengabaikan aspek keselamatan sepanjang proses memasang dan menerbangkan belon udara panas.

“Pembabitan dalam aktiviti ini bermula selepas saya dan beberapa rakan ditawarkan oleh sebuah syarikat untuk mengikuti kursus mengendali dan menerbangkan belon udara panas pada 1995.

“Ketika itu kami melakukan persiapan untuk sambutan 150 tahun akhbar New Straits Times. Sekarang cuma tinggal saya sahaja yang masih aktif, ahli lain ramai sudah bersara,” katanya ketika ditemui di tapak Festival Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Jalan Ampang, di sini.

Menurutnya, sebelum layak menerbangkan belon udara panas dia mengikuti latihan daripada jurulatih luar negara, seterusnya menduduki peperiksaan dikendalikan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Katanya, kos bagi satu set belon udara panas ketika ini mencapai RM300,000 namun kerana minat ada individu di negara ini yang sanggup membelinya.

“Setahu saya ada seorang individu dari Kedah memiliki set belon udara panas, semuanya kerana minat.

“Tidak kurang pula yang mengambil lesen komersial di Sepanyol biarpun perlu membayar sekitar RM30,000 bagi tujuan itu,” katanya.

IMG_20230715_213424_669
NORDIN HUSSIN

Atas dasar hobi dia kerap menghabiskan masa untuk memenuhi udangan menerbangkan belon udara panas di seluruh Malaysia selain pernah ke Indonesia dan Vietnam.

“Proses mengembangkan belon ini mengambil masa 20 minit paling cepat, tetapi turut bergantung kepada faktor cuaca. Kami menggunakan gas petroleum cecair (LPG) dan campuran 10 peratus nitrogen untuk mendapatkan api yang sesuai bagi menerbangkan atau mendarat semula.

“Nampak mudah tetapi perlu berhati-hati, perlu pandai buat perkiraan dan mengikut gerak hati bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

“Sebelum terbang kami perlu maklumkan terlebih dahulu kepada CAAM,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1561
Kongsi :
Previous post TMM2024: Kekalkan momentum promosi
Next post Tambah keahlian menerusi MUTIARA
Ubah saiz-+=