‘Atuk’ berbasikal 2,500km bawa mesej merdeka

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

ALOR GAJAH 14 Ogos – Pernah hampir pengsan kerana kehabisan air ketika berkayuh tidak menghalang dua warga emas untuk meneruskan misi kayuhan merdeka sempena bulan kemerdekaan ke-65 tahun ini.

Dua sekawan, Ishak Mohamad, 60, dan Md Nasir Ahmad, 63 memilih untuk berbasikal sejauh 2,500 kilometer (km) bermula hari ini dalam misi membawa mesej kemerdekaan kepada orang ramai.

Menurut Ishak, walaupun sudah memasuki usia emas, ia bukan penghalang untuk mereka meneruskan misi itu demi membakar api semangat kepada anak muda masa kini menghayati pengorbanan pejuang terdahulu.

“Misi tahun ini, kami akan membawa mesej mengenang perjuangan bangsa terdahulu yang sanggup berkorban demi memerdekakan negara.

“Jadi kayuhan sejauh 2,500 km ini kami rancang akan singgah ke beberapa lokasi termasuk Pulau Langkawi.

“Antara lokasi yang akan kami singgahi termasuklah sekolah, kolej, kawasan tumpua awam dan tempat bersejarah bagi menyampaikan mesej merdeka kepada orang ramai,” katanya ketika ditemui pemberita di Taman Sri Naning, hari ini.

ISHAK (kiri) dan Md Nasir mengelilingi Semenanjung sejauh 2,500 kilometer menerusi Kayuhan Merdeka 65.

Bercakap tentang pengalaman, Ishak memberitahu dia sudah mula terlibat dengan misi berbasikal pada tahun 2018.

Sejak mengikuti misi tersebut pelbagai cabaran dan kenangan ditempuh termasuklah pernah hampir pengsan kerana kehabisan air minuman.

“Antara cabaran paling sukar ialah berkayuh di Bukit Meratong, Dabong Kelantan yang hanya berjarak 4km tetapi cukup mencabar kerana terpaksa mendaki bukit.

“Pernah suatu ketika kami hadapi situasi tiada air dan terpaksa meminta air kelapa daripada orang kampung. Mujurlah ramai yang prihatin dan membantu kami,” katanya.

ISHAK memakai jaket keselamatan sebelum memulakan kayuhan 2,500km.

Menurut Ishak, misi jelajah tahun ini dijangka akan diadakan selama sebulan dengan bermodalkan sebuah basikal berharga RM600.

Katanya, lokasi pertama yang akan disinggahi ialah di Sungai Buloh dan seterusnya akan bergerak bergerak ke Perak sehinggalah dijangka ke Selatan Thailand.

“Saya harap kayuhan yang bakal berakhir pada 16 September ini dapat dilakukan dengan sempurna tanpa ada halangan,” katanya.

Terdahulu Majlis Pelancaran Kayuhan Merdeka 65 Jelajah Semenanjung telah disempurnakan Pegawai Perpaduan Daerah Alor Gajah, Norimah Samsuri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2440
Kongsi :
Previous post 92 program semarak Bulan Kebangsaan, Hari Malaysia di Melaka
Next post 50 sukarelawan Yadim bantu mangsa ribut
Ubah saiz-+=