Atuk 70 tahun teruja ikuti peperiksaan al-Quran

Masa Membaca:2 Minit, 42 Saat

REMBIA 19 September – Seramai 70 peserta termasuk warga emas berusia 70 tahun menyertai Majlis Peperiksaan Bacaan Tajwid Dan Pemahaman Al-Quran 2022 yang diadakan di Kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka, di sini, semalam.

Peperiksaan yang membabitkan ujian bertulis dan ujian lisan itu merupakan anjuran Persatuan Pengajian dan Kuliah Asas Membaca Al-Quran (PERKAMA).

Salah seorang peserta paling senior, Dr Shaharom Noordin, 70 antara yang teruja menyertai peperiksaan itu bersama isterinya.

Katanya, walaupun sudah memasuki usia emas, ia bukan penghalang untuknya bersama-sama dalam peperiksaan tersebut kerana baginya proses menimba ilmu itu tidak akan pernah berhenti.

“Pada saya kita perlu sentiasa belajar untuk menambah ilmu. Saya rasa seronok dan pada masa sama saya berharap apa yang saya dan isteri lakukan ini akan menjadi perangsang kepada anak cucu,” katanya yang sudah mempunyai tauliah mengajar ilmu al-Quran.

WhatsApp Image 2022-09-18 at 4.47.36 PM
Dr Shaharom Noordin

Bagi peserta termuda dalam peperiksaan kali ini, Nuratiqah Amirah Muhd Amri, 16, pengajian Al-Quran yang dianjurkan PERKAMA itu disifatkan sesi pengajian al-Quran yang amat baik.

Katanya, ia berikutan pelajar diajar daripada peringkat paling asas, iaitu daripada mengenal huruf dan makhrajnya, sehingga boleh membaca dengan hukum tajwid dengan betul.

“Selepas nenek mengikuti pengajian al-Quran anjuran PERKAMA, ia mendorong saya untuk menyertai kelas ini dan alhamdulillah saya berasa seronok kerana dapat belajar al-Quran daripada peringkat paling asas.

“Saya berharap lebih ramai rakan-rakan sebaya saya akan turut mengikuti kelas anjuran PERKAMA ini, kerana al-Quran merupakan perkara yang wajib dipelajari oleh setiap orang Islam,” kata Nuratiqah yang bercita-cita untuk menjadi seorang guru agama suatu hari nanti.

Sementara itu, Pengerusi PERKAMA Johari Hussein berkata, tujuan peperiksaan itu diadakan adalah untuk menguji kefahaman dan tahap penguasaan ilmu al-Quran yang dipelajari peserta selepas mengikuti sesi pengajian sepanjang tempoh 3 tahun.

“Saya berharap, peperiksaan yang diadakan ini dapat menguji kefahaman dan penguasaan ilmu al-Quran yang telah dipelajari, sekali gus dapat memberi keyakinan kepada mereka untuk menjadi sebahagian daripada individu yang mampu mengajar ilmu al-Quran kepada lebih ramai individu,” katanya.

WhatsApp Image 2022-09-18 at 4.47.35 PM
Nuratiqah Amirah

Dalam perkembangan lain, Johari berkata, PERKAMA ketika ini sedang bertungkus-lumus untuk merealisasikan penubuhan sebuah kompleks yang dikenali sebagai Kompleks Al-Quran Darul Jannah (KADJ) bagi memastikan proses pembelajaran al-Quran dapat dijalankan secara lebih sistematik dan teratur.

Katanya, kompleks yang terdiri daripada dua buah blok bangunan dan sebuah dewan terbuka (Berbumbung) itu kini sedang dalam peringkat pembinaan, bertempat di Lot 89, Mukim Bukit Rambai, Melaka.

WhatsApp Image 2022-09-18 at 4.35.58 PM
Para peserta, tenaga pengajar dan panel penilai mengabadikan gambar kenangan sebelum sesi peperiksaan ke-10 bermula.

Menurutnya, kompleks yang dijangka menelan belanja sebanyak RM1 juta ini, diharap dapat disiapkan menjelang akhir tahun 2023.

“Pihak PERKAMA menyasarkan, KADJ dapat disiapkan dan mula beroperasi pada awal tahun 2024. Secara keseluruhan, projek ini membabitkan kos sebanyak RM1 juta.

“Sehubungan itu, saya amat mengalu-alukan sumbangan dana daripada mana-mana pihak bagi menampung kos tersebut,” katanya.

Bagi mana-mana badan, syarikat atau individu yang ingin memberi sumbangan dana untuk projek KADJ ini, boleh berhubung terus dengan PERKAMA atau menyalurkan terus sumbangan mereka ke akaun PERKAMA menerusi No Akaun: 04020000489719 (BANK MUAMALAT).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2687
Kongsi :
Previous post Misi Zahari majukan pekan ‘koboi’
Next post Mangsa banjir di PPS Melaka menurun
Ubah saiz-+=