Sorting by

×

ATM wajar tingkatkan keupayaan tangani ancaman CBRNE

Masa Membaca:2 Minit, 34 Saat

 

SUNGAI UDANG 25 Mac.- Terdapat keperluan bagi membangunkan keupayaan menangani ancaman keganasan dalam persekitaran kimia, biologi, radiologi dan letupan nuklear (CBRNe) termasuk di Sabah dan Sarawak pada masa depan.

Pandangan itu diutarakan Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan ketika ditanya keupayaan Tentera Darat Malaysia (TDM) berdepan peperangan menggunakan senjata CBRNe.

Beliau berkata, setakat ini hanya 12 Skuadron Rejimen Askar Jurutera DiRaja (12 SKN RAJD) berpengkalan di Kem Terendak di sini yang berkepakaran dan terlatih dalam menangani ancaman sedemikian.

Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan. Gambar Din Ahmad

“Kita sedia maklum Malaysia terbahagi barat dan timur, justeru ada kemungkinan pada masa depan kita memikirkan, tertakluk kepada ketetapan pucuk pimpinan, untuk bangunkan keupayaan (CBRNe) di Malaysia Timur.

“(Ia) sejajar dengan perancangan masa depan Tentera Darat kita menetapkan strategi kedua-dua wilayah dipertahan secara kendiri.

“Saya berpendapat keperluan untuk bangunkan di Malaysia Timur wajar dipertimbangkan,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutupan Eksesais Mantis Siri 7/2021 di Kem Terendak di sini, hari ini.

Hadir sama Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Kanada di Malaysia Esther Van Nes, Penasihat Pertahanan Kanada Leftenan Kolonel Kevin Barker dan Komander Jurutera Medan Pemerintahan Medan Barat Brigedier Jeneral Ir Abdul Hamid Mohd Isa merangkap Pengarah Eksesais.

Mengulas lanjut Muhammad Hafizuddeain berkata, 12 SKN RAJD sudah lama diwujudkan, namun pembangunan keupayaannya dilaksanakan secara progresif.

PANGLIMA Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan brbincang sesuatu dengan Barker (kanan) selepas meninjau perisai Gempita. Gambar Din Ahmad

“Inisiatif kolaborasi latihan bersama tentera Kanada (Eksesais Mantis) ini antara strategi kita untuk bangunkan kepakaran kita dalam menghadapi peperangan CBRNe.

“Bagaimanapun dengan keupayaan sekarang skuadron ini turut diatur gerak bagi membantu operasi awam seperti pencemaran Sungai Kim-Kim di Pasir Gudang, Johor pada Mac 2019.

“Pasukan ini membantu pihak Hazmat (Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya) dan agensi lain dalam mengenal pasti pencemaran yang berlaku dan juga membantu dalam proses dekontaminasi mangsa yang terbabit,” katanya.

Beliau berkata, 12 SKN RAJD turut membantu agensi lain di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) atau dikenali sebagai PKRC MAEPS khususnya dalam Dekontaminasi pesakit dalam skala besar

“Adakah Malaysia mampu hadapi perang biokimia? Ia bergantung kepada magnitud ancaman…nak kata kita mampu, masih ada ruang untuk penambahbaikan pada masa depan dari segi peralatan, keupayaan melatih anggota sedia ada,” katanya lagi.

Muhammad Hafizuddeain berkata menangani ancaman CBRNe bukan saja terletak di atas bahu Tentera Darat malah memerlukan kerjasama pelbagai agensi keselamatan yang lain termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Sementara itu, Barker menyifatkan anggota TDM sangat berdedikasi selain berkemahiran tinggi dalam menjalankan tugas.

“Rakyat Malaysia wajar berbangga dengan kemahiran dan tahap keyakinan anggota tentera iaitu 12 SKN RAJD, Grup Gerak Khas dan unit lain yang sangat berdedikasi, berkemahiran dan profesional

“Kami tentera Kanada amat berbangga dapat mengadakan latihan bersama (TDM) dan bersedia untuk meneruskan kerjasama pada masa depan,” katanya.

Terdahulu pada majlis itu, peserta eksesais melakukan demonstrasi menentang ancaman pengganas dalam persekitaran CBRNe termasuk penggunaan dua perisai Gempita.

 

Views:

1482
Kongsi :
Previous post Ambil kira kelestarian bumi dalam rancangan pembangunan, sosioekonomi MUHYIDDIN
Next post Tembak anak sebelum bunuh diri
Ubah saiz-+=