ATM pertingkat keselamatan Pantai Timur Sabah – Hishammuddin
Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata arahan itu dikeluarkan kepada ketiga-tiga perkhidmatan ATM melalui Panglima Medan Timur Lt Jen Datuk Mardzuki Muhammad, Panglima Armada Timur (TLDM) Laksamana Madya Datuk Sabri Zali dan Panglima Wilayah Udara 2 (TUDM) Mej Jen Datuk Shamsudin Kassim.
Beliau berkata melalui pelaksanaan operasi dan perisikan pihak ATM setakat ini mendapati tiada petunjuk atau bukti kukuh berhubung laporan berkenaan.
“Seperti yang ditegaskan oleh Panglima ATM (Jen Tan Sri Affendi Buang) dan Ketua Polis Negara (Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani) tindakan segera akan diambil bagi meningkatkan kesiapsiagaan ke tahap tertinggi di Sabah.
“Agensi perisikan dan keselamatan kita juga telah mengambil maklum tentang perkara yang dilaporkan dan sedang dalam proses verifikasi dengan agensi-agensi sejawat mereka di Filipina dan serantau seperti yang dinyatakan KPN dan Komander ESSCOM semalam,” katanya pada sidang media pasca Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari di Wisma Perwira ATM, di sini.
Hishammudidn berkata kementerian dan ATM sememangnya memberi perhatian terhadap laporan berkenaan.
“Sebarang ancaman, sama ada boleh dipercayai atau tidak ia mesti disahkan secara bebas dan dianggap serius. Saya menggesa rakyat di Sabah supaya tidak berasa bimbang dengan ancaman itu kerana ATM sentiasa memantau perkembangan itu dari semasa ke semasa.
“Apa jua maklumat orang ramai yang boleh membantu kita sama ada mengesahkan apa yang dilaporkan itu akan kita terima dan akan kaji secara menyeluruh,” katanya.
Hishammuddin berkata inisiatif Perjanjian Kerjasama Tiga Hala (TCA) yang melibatkan kerjasama antara Malaysia, Indonesia dan Filipina, dapat memastikan Laut Sulu dan Sulawesi, laluan perairan antara Sabah dan Selatan Filipina sentiasa selamat.
“Hubungan kerja saya dengan Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto dan Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin Lorenzana juga akrab dan kukuh dan sentiasa berkomunikasi antara satu sama lain mengenai perkara yang menjadi kebimbangan bersama terutama soal keselamatan.
“Mereka (Prabowo Subianto dan Lorenzana) dan saya bersetuju untuk melaksanakan semula Perbincangan Peringkat Menteri mengenai TCA dan kami merancang untuk bertemu pada Januari 2022 bagi kukuhkan lagi kerjasama antara angkatan tentera negara masing-masing di Laut Sulu dan Sulawesi,” katanya.
Beliau berkata memelihara keamanan dan kesejahteraan Sabah sentiasa menjadi keutamaan paling tinggi Kementerian Pertahanan dan kepimpinan kementerian akan terus memastikan keselamatan Sabah tidak dikompromi dan kedaulatan negara tidak sewenang-wenangnya dinodai.
Ditanya sama ada ATM akan mengatur gerak aset dan menambah keanggotaan di Sabah, Hishammuddin berkata belum ada keperluan drastik.
“Kerajaan bagaimanapun melalui agensi-agensi keselamatan lain telah melakukan tindakan segera dalam meningkatkan kesiapsiagaan ke tahap tertinggi di negeri itu,” katanya.
Pada Khamis, media antarabangsa melaporkan satu mesyuarat diadakan pada 1 Dis lepas yang diatur oleh seorang pegawai kanan kerajaan tempatan Wilayah Sulu yang dihadiri 19 Datuk Bandar di sana bagi membincangkan penubuhan ‘Tentera Diraja Sulu’ untuk menawan Sabah dengan 11 daripada Datuk Bandar yang hadir bersetuju dengan rancangan itu. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.