Sorting by

×

ATM keluar ‘senjata’ baharu, dua jengkaut diba bantu operasi SAR tanah runtuh

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

BATANG KALI, 19 Dis – Usaha pencarian sembilan lagi mangsa insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya dekat sini, dipergiat menerusi penambahan aset dan alat baharu, kali ini dengan ketibaan dua lagi jengkaut milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dibawa khas hari ini.

Dua jentera berat baharu jenis PC 210 LC-10M milik 91 Rejimen Askar Jurutera Diraja (91 Rej Bantuan RAJD) Kem Batu Kentonmen, Kuala Lumpur yang tiba sekitar 2 petang itu, mencuri tumpuan pengamal media dan semua mereka yang berkampung di lokasi insiden ini sejak Jumaat lepas.

Difahamkan, Majlis Penyerahan Kenderaan Jenis C (KJC) varian ‘Tracked Excavator (Med) Komatsu’ itu baru sahaja diterima 91 Rejimen Bantuan RAJD pada 31 Mei lalu, melalui Perolehan Rancangan Boleh Pinda 3 (RP 3) 2021.

Penambahan dua jentera berat berkenaan sekali gus menjadikan jumlah jengkaut yang digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini sebanyak 10.

Sebelum ini Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor Datuk Norazam Khamis berkata lapan jengkaut ditugaskan di sektor A dan sektor C bagi kerja pengorekan serta alih tanah, namun proses pengorekan dijalankan secara berperingkat bagi mengelakkan jentera terkena mangsa.

Semalam pasukan penyelamat turut mendapat bantuan alat ‘Ground Penetrating Radar’ daripada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk membantu proses pengesanan mayat di dalam tanah.

Bukan itu sahaja, sebanyak 11 ekor anjing pengesan diletakkan dalam keadaan siap siaga di lokasi kejadian, untuk membantu operasi dengan enam daripadanya milik JBPM, empat (Polis Diraja Malaysia) dan seekor milik ATM.

Operasi SAR memasuki hari keempat hari ini bagi mencari baki sembilan lagi mangsa yang hilang dalam tragedi yang berlaku pada Jumaat lepas itu.

Seramai 24 mangsa disahkan terkorban setakat ini manakala 61 selamat daripada keseluruhan 94 mangsa.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2416
Kongsi :
Previous post Boling eratkan silaturahim warga kerja MHI
Next post Penugasan PDRM dalam SAR ambil kira faktor kebajikan, kepakaran
Ubah saiz-+=