Sorting by

×

Atlet wushu berpotensi sumbang emas

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

JASIN 25 Julai – Melaka optimis wushu akan menjadi antara sukan penyumbang pingat emas pada Sukan Malaysia Ke-21 (Sukma XXI) Sarawak 2024 meskipun menampilkan barisan muka baharu.

Exco Belia, Sukan dan NGO negeri VP Shanmugam berkata, pada kejohanan ini Melaka menghantar 18 atlet keseluruhan dan daripada jumlah itu tujuh atau lapan orang adalah atlet baru yang pertama kali bertanding di pentas Sukma.

“Keseluruhan untuk sukan wushu sebanyak 25 pingat emas dipertandingkan meskipun pada kejohanan kali ini setiap atlet hanya boleh bertanding satu acara sahaja tetapi kita yakin wushu masih dapat sumbangkan emas.

“Kali ini kita bariskan tujuh atau lapan orang muka baharu walaupun begitu kita percaya dengan latihan yang sudah dimulakan sejak belasan tahun lagi dan didikan yang diberikan ia akan membantu kepada sumbangan emas.

“Kita juga percaya menerusi kategori baharu yang dipertandingkan pada kejohanan kali ini iaitu acara sanda, ia akan menyumbang emas buat kem wushu,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Bendera Negeri Melaka Kepada Ketua Kontinjen Sukma Sarawak 2024, di Dewan Alamanda Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azhar Arshad dan Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Melaka, Mohd Asri Ninggal.

Menurut Shanmugam, pihaknya juga realistik dengan sasaran 20 pingat emas keseluruhan akan dapat dicapai menerusi barisan atlet yang akan beraksi pada Sukma XXI nanti.

“Selain daripada wushu, beberapa acara lain antaranya muay thai, renang, berbasikal, menembak, angkat berat dan silat juga berpotensi menyumbang pingat emas kepada kontinjen Melaka.

“Kita yakin barisan atlet kita akan mempamerkan dan memberi aksi yang terbaik pada SUKMA Sarawak dalam misi membawa balik 20 pingat emas,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

256
Kongsi :
Previous post Keluarga Albertine Leo tidak kenal kesemua suspek – polis
Next post Koridor Ekonomi Anjung Selatan beri manfaat tiga negeri
Ubah saiz-+=