ATLET TAEKWANDO TERIMA ANUGERAH PELAJARAN DIRAJA UTEM

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

DURIAN TUNGGAL 9 November – Leftenan Muda KOR SISPA (Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam), Fakhirah Hazirah Shahrulazhar, menerima Anugerah Pelajaran Diraja pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) ke 20, hari ini.

Fakhirah Hazirah yang juga atlet taekwondo merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik dengan Kepujian yang aktif dalam sukan seni tempur itu sepanjang pengajiannya di UTeM serta pernah merangkul pingat gangsa dalam bidang ini.

Berkongsi rahsia menjadi mahasiswi cemerlang, anak muda berusia 24 tahun itu berkata, seseorang itu perlu berdisplin, tekun dan bijak dalam menguruskan masa.

“Kita juga perlu pandai mengimbangi antara fokus akademik, sukan taekwondo dan kokurikulum pasukan beruniform.

“Ini merupakan cabaran besar buat saya dalam aspek mental dan fizikal, namun kita perlu tetapkan dalam minda dengan satu keazaman teguh diiringi doa ibu bapa dan sokongan para pensyarah.

“Kita perlu konsisten dengan amalan dan bersungguh-sungguh dalam melaksanakan sesuatu perkara itu sehingga membuahkan kejayaan,” katanya yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.52.

Anak keempat daripada lima beradik itu juga pernah menerima anugerah dekan sebanyak empat kali sebelum ini.

Ditanya mengenai cita-citanya, graduan berasal dari Shah Alam, Selangor itu mempunyai impian untuk mengikuti jejak langkah ibu dan bapanya sebagai jurutera.

Katanya, kerjaya itu akan dimanfaatkannya untuk membantu pembangunan teknologi dalam sektor industri dan komuniti.

Sementara itu, seorang lagi penerima anugerah berkenaan Din Ying Xuan,24, yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Pembuatan dengan kepujian memperoleh PNGK 3.68.

Ying Xuan berasal dari Kuala Langat, Selangor menzahirkan rasa gembira dengan kejayaan itu kerana cabaran dilalui sepanjang pengajian untuk cemerlang di UTeM membuahkan hasil.

“Faktor utama pencapaian saya ialah sokongan tidak berbelah bahagi daripada keluarga dan pensyarah, mereka memberi saya kekuatan untuk terus maju walaupun melalui saat-saat yang sukar.

“Saya sentiasa percaya bahawa usaha keras, disiplin dan tekad adalah kunci untuk mencapai kejayaan dalam apa jua yang diceburi,” katanya yang anak sulung daripada dua beradik milik pasangan Din Chu Han, 52, (penyelia) dan Lim Choon Moi, 56 (guru).

Menerusi penganugerahan itu, kedua-dua merska menerima pingat, sijil anugerah, wang tunai RM7,500 dan nombor plat eksklusif UTeM.

Mereka berdua merupakan antara 3,459 graduan yang menerima diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana serta ijazah Doktor Falsafah (PhD) masing-masing pada Majlis Konvokesyen UTeM Ke-20.

Istiadat konvokesyen itu telah disempurnakan oleh Canselor UTeM yang juga Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama, Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Dr. Massila Kamalrudin.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

469
Kongsi :
Previous post MELAKA BANTU PRODUK USAHAWAN TEMBUSI PASAR RAYA, STESEN MINYAK
Next post PROJEK TAMBAKAN PANTAI PUTERI TUNJUK PERKEMBANGAN
Ubah saiz-+=