Sorting by

×

ATLET PARA BANGGA DAPAT HARUMKAN NAMA MELAKA

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

BANDARAYA MELAKA 15 Februari – Atlet Para Renang Melaka, Ong Jia Xuen, 21, membuktikan kekurangan fizikal bukan penghalang untuk berjaya apabila dia menyumbangkan tiga emas dan satu perak untuk negeri ini pada pentas Para Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 yang lalu.

Baginya, sebagai atlet dia memikul amanah dan tanggungjawab untuk mengharumkan nama Negeri Melaka selain masuk ke gelanggang bagi mencari kepuasan dalam diri dengan memburu pingat pada temasya disertainya.

Jia Xuen yang juga orang kurang upaya (OKU) fizikal berkata, pemberian imbuhan daripada Kerajaan Negeri atas kecemerlangan ketika beraksi di Para SUKMA Sarawak 2024, menjadikan semangatnya untuk menggapai lebih banyak kejayaan terus membara.

“Rasa bangga kerana saya dapat sumbangkan tiga emas untuk Melaka dalam kategori 50 meter (m) Gaya Bebas; 100 m Gaya Kuak Dada dan 100 m Gaya Bebas, namun saya sekadar mendapat perak bagi kategori 100 m Gaya Kuak Lentang,

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana menghargai sumbangan dan sentiasa menjaga kebajikan atlet Para. Saya akan lakukan yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Insentif Kontinjen Para SUKMA Negeri Melaka yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di sebuah hotel, di sini, semalam.

6159048850279612636
JIA Xuen menunjukkan emas dimenanginya. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Sementara itu atlet Para Kelahiran Jasin, Muhammad Mulhim Md Jani, 30, juga berbangga atas pencapaiannya meraih dua emas bagi acara Para Tenpin Boling kategori perseorangan dan beregu selain perak bagi kateogori berkumpulan.

“Syukur dan terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung pada temasya SUKMA Sarawak 2024 lalu, pemberian insentif ini adalah tanda Kerajaan Negeri cakna akan kejayaan serta sumbangan atlet Para Melaka.

“Sudah semestinya untuk tahun mendatang, saya akan berusaha lebih gigih untuk mengharumkan nama Melaka bersama rakan atlet Para yang lain,” katanya.

6159048850279612644
MUHAMMAD Mulhim menunjukkan emas dimenanginya. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Dalam pada itu, pempengaruh media sosial yang juga penerima insentif, Muhammad Hafiq Hizwan Norizan, 28, atau lebih dikenali sebagai Balau berkata pemberian insentif itu memberi impak besar kepada dirinya dan rakan seperjuangan.

Atlet Para Olaraga itu membawa pulang satu pingat emas bagi acara 200 meter OKU Fizikal dan pingat perak bagi acara balapan berkumpulan.

“Pada saya insentif ini memberi ruang dan peluang untuk saya bukti kepada rakan-rakan dan keluarga meskipun kita ada kekurangan (OKU) namun menerusi sukan kita dapat serlahkan kelebihan lain,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

168
Kongsi :
Previous post ERATKAN HUBUNGAN TENTERA DAN RAKYAT MELALUI SUKAN
Next post ‘PINTAS’ BANTU TRANSFORMASI ASNAF MELAKA