Atlet memanah negara meninggal dunia
KUALA LUMPUR 14 Mei – Arena sukan tanah air hari ini dikejutkan dengan berita pemergian atlet memanah negara Haziq Kamaruddin yang meninggal dunia awal pagi tadi.
Menurut seorang ahli keluarganya yang enggan dikenali, pemanah recurve berusia 27 tahun itu rebah di rumahnya di Kajang selepas menunaikan solat subuh pagi tadi.
“Arwah tiba-tiba rebah sejurus keluar dari bilik air selepas solat subuh dan terus tidak sedarkan diri,” kata wanita itu ketika dihubungi Bernama.
Menurutnya, Haziq kemudian digegaskan ke Hospital Kajang namun disahkan meninggal dunia sejurus ketibaan di hospital itu.
Pemanah berasal dari Johor itu pernah mewakili negara ke temasya Olimpik sebanyak dua kali, iaitu pada edisi London 2012 serta Rio 2016 di Brazil dan kini sedang mengejar slot kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo yang dijadualkan berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos depan.
Haziq yang sedang menjalani persiapan untuk kelayakan ke temasya di Tokyo itu sudah sedekad mewakili negara di pelbagai peringkat, termasuk meraih pingat emas Grand Prix Asia 2011 di Laos dan gangsa semasa Piala Asia 2019 di Filipina.
Pencapaian lain Allahyarham yang pernah dinobatkan sebagai Olahragawan Terbaik Sekolah Sukan Bukit Jalil pada 2011 itu ialah meraih empat pingat emas dan dua perak dalam acara individu serta berpasukan sepanjang penyertaannya di Sukan SEA sejak edisi 2011 hingga 2019.
Sementara itu, rakan sepasukannya Zulfadhli Ruslan merupakan antara yang terawal memaklumkan tentang pemergian Haziq menerusi laman Facebooknya.
“Assalamualaikum dan salam sejahtera, dukacita dimaklumkan sahabat saya, Haziq Kamaruddin telah pergi mengadap llahi pagi tadi. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang beriman. Minta semua rakan-rakan saya mendoakan. al-Fatihah,” menurut catatan beliau.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.