Sorting by

×

Atlet Melaka tertekan?

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER KEROH 11 Nov. – Peningkatan stress dalam kalangan atlet di negeri ini menjadi antara cabaran yang perlu dihadapi Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Melaka, sejak akhir-akhir ini.

Pemangku Pengarahnya Tan Gek Chu berkata, perkara itu antara yang menjadi kerisauan susulan pengumuman pembatalan Sukan Malaysia (Sukma) 2020 dan ditambah lagi dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hampir di seluruh negara.

“Sudah pastinya pembatalan Sukma menjejaskan persiapan atlet dari segi mental dan fizikal. Ditambah pula dengan penguatkuasaan PKPB sekarang.

“Boleh dikatakan peningkatan stress dalam kalangan atlet menjadi kerisauan pihak MSN Melaka berbanding dengan pencapaian prestasi dan stamina mereka pada ketika ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).

Bagaimanapun, Gek Chu berkata, pihaknya enggan memandang dari sisi negatif sebaliknya menganggap apa yang berlaku sepanjang tahun ini mempunyai hikmah yang tersendiri.

Ujarnya, di sebalik penangguhan Sukma 2020 dan apa yang berlaku, ia diyakini dapat memberi lebih banyak peluang kepada semua yang terlibat untuk memperkasakan perancangan masing-masing ke arah yang lebih baik untuk tahun mendatang.

“Melihat kepada perspektif yang lebih positif, penangguhan ini membolehkan pihak jurulatih merangka semula pelan perancangan penjangkalaan yang lebih terancang sepanjang tahun 2021 dan 2022, jika dibandingkan dengan perancangan 2020.

“Tahun 2020 yang tidak menentu dan begitu mencabar buat semua selepas penguatkuasaan PKP, PKPD, PKPB, serta PKPP yang telah banyak menjejaskan konsistensi program latihan atlet,” katanya lagi.

Baru-baru ini, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengumumkan pembatalan Sukma dan Para Sukma Johor 2020 atas faktor pandemik COVID-19 masih belum menunjukkan tanda-tanda akan reda sehingga tahun depan.

Reezal Merican dipetik berkata, pihak kementerian juga berdepan kesukaran untuk memberi jaminan keselamatan kesihatan kepada hampir 30,000 yang terlibat dalam temasya itu termasuklah atlet, jurulatih, pegawai, sukarelawan dan pengurusan.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan Johor akan tetap diberikan hak penganjuran untuk edisi 2022 kerana negeri itu hampir 99 peratus bersedia dari segi perancangan, pengurusan, teknikal dan kemudahan pertandingan.

Views:

779
Kongsi :
Previous post Tragedi goreng ayam
Next post MPHTJ kenal pasti masalah industri pelancongan
Ubah saiz-+=