Atlet judo Melaka ingin tebus kekalahan di Sukan Sea Hanoi
MALIM 8 Mei- “Kami mahu tebus kekecewaan semasa Sukan Sea Filipina dahulu apabila judo negara hampa, gagal membawa pulang pingat,” kata Atlet judo kebangsaan Ong Kun Xiong dan Tan Woon Kiat.
Kedua-dua atlet sukan seni bela diri itu optimis mereka mampu melakar kejutan meskipun tanpa latihan di pusat serta kejohanan besar kerana kekangan semasa pandemik COVID-19.
Menurut Ong Kun Xiong, 31, mereka bakal berentap dengan atlet dari negara lain menerusi acara Goshin-Jutsu dan menyasarkan kilauan pingat emas dalam acara tunggal mereka itu.
Katanya, mereka berdua hanya dapat berlatih pada waktu malam atau hari cuti sahaja sebagai persiapan ke Sukan Sea memandangkan terikat dengan pekerjaan hakiki sebagai jurutera kilang di Melaka.
“Namun begitu, kami sentiasa mendapat sokongan penuh terutama dari jurulatih terkemuka Lee Khim Seng dalam memberi tunjuk ajar menghadapi pertandingan tersebut memandangkan Judo Kata yang baharu akan dipertandingkan.
“Dari segi latihan, kami berlatih di Melaka sahaja kerana terikat dengan kerja dan sepanjang tempoh dua tahun ini tiada acara besar dalam sukan judo yang dipertandingkan, jadi kami berlatih sendiri.
“Selain itu kami juga merujuk pada video dan Youtube bagi mematikan tidak terlepas sebarang markah akibat kesilapan ketika bertanding,” katanya.
Ong berkata demikian ketika ditemui di pusat latihan Persatuan Judo Negeri Melaka di sini hari ini.
Nada sama disuarakan Tan Woon Kiat, 34, yang menyifatkan meskipun Judo Kata yang dipertandingkan adalah kategori baharu namun dia dan rakan gandingannya positif untuk meraih pingat.
Namun, dia enggan memandang enteng pasukan lawan dari negara lain dan menyifatkan pasukan tuan rumah sebagai pencabar utama.
“Saya melihat Vietnam sebagai pencabar utama kerana mereka adalah tuan rumah dan persiapan sudah pasti cukup di pihak mereka.
“Dan sebab itu kami akan buat yang terbaik bagi memastikan pingat emas itu kepunyaan kami” katanya yang bakal berlepas ke Vietnam pada 16 Mei ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.