Sorting by

×

Atasi kesesakan Klebang jadi agenda Ban Hong

Masa Membaca:3 Minit, 38 Saat

KLEBANG 20 Disember – Mengatasi masalah kesesakan di Klebang menjadi antara agenda Datuk Lim Ban Hong sebagai wakil rakyat kawasan itu.

Beliau yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang berkata, sebagai antara destinasi tumpuan pelancong dan riadah rakyat Melaka, Dewan Undangan Negeri (DUN) itu kerap berdepan isu kesesakan teruk khususnya pada setiap hujung minggu.

Katanya, penambahbaikan infrastruktur jalan raya dilihat sebagai antara perkara terpenting dalam menyelesaikan isu penyuraian trafik di kawasan tersebut.

JALAN PESISIR PANTAI

Menurut Ban Hong, pembinaan infrastruktur jalan raya pesisir pantai di kawasan tambak laut disifatkan antara penyelesaian terbaik bagi mengatasi masalah kesesakan yang sering membelenggu penduduk dan pelancong.

1
PEMBINAAN jalan pesisir pantai di Klebang dapat membantu mengatasi masalah kesesakan pada hujung minggu.

Katanya, selain atasi kesesakan, kewujudan jalan pesisir pantai juga pada masa sama dapat merangsang pertumbuhan ekonomi di kawasan ini dengan pembangunan pusat perniagaan dan kawasan perumahan.

“Ia secara tidak langsung memajukan kawasan tambak laut yang bakal memberi manfaat kepada negeri dan rakyat Melaka.

“Jadi, saya berharap Kerajaan Negeri dapat memberi perhatian terhadap pembangunan jalan pesisir pantai itu,” katanya.

Jelas Ban Hong, selain jalan pesisir pantai, Kerajaan Negeri juga perlu mengambil kira dan mengkaji pembinaan jejambat bertingkat di beberapa kawasan dalam Parlimen Tangga Batu yang turut menghubungkan DUN Klebang.

Katanya, pembinaan jejambat bertingkat menerusi peruntukan Kerajaan Persekutuan turut membantu penyuraian trafik terutama ketika waktu puncak.

Pada masa sama, ujarnya, pembangunan yang dilakukan juga mestilah menekankan aspek keselamatan pengguna jalan raya seperti lampu jalan memandangkan masih terdapat beberapa kawasan di Klebang masih bergelap akibat lampu jalan tidak berfungsi.

“Apapun, saya akan bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi menambah baik lampu-lampu jalan khususnya di kawasan gelap dan persimpangan bagi memastikan keselamatan penduduk dan pengguna jalan raya di kawasan ini,” katanya.

4
MEMANTAU kerja-kerja pemulihan PPR Klebang yang sudah bermula.

PPR KLEBANG DIJANGKA SIAP 2023

Dalam pada itu, Ban Hong turut berkongsi perkembangan terkini Projek Perumahan Rakyat (PPR) Klebang yang sebelum ini tergendala.

Kata beliau, kontraktor pemulihan kini telah dilantik dan projek itu sedang dilaksanakan semula selepas tertangguh sekian lama.

Ujarnya, mengikut perancangan, projek itu dijangka mempunyai tempoh sehingga akhir tahun 2023 untuk disiapkan.

“Saya akan terus membuat pemantauan berkala untuk memastikan pemulihan projek PPR Klebang berjalan mengikut jadual kerja yang ditetapkan memandangkan ia merupakan PPR pertama di Klebang.

“Apabila siap nanti, saya akan terus memperjuangkan projek PPR kedua dibangunkan di Klebang bagi membantu rakyat Melaka memiliki rumah pertama mereka,” katanya.

2
BAN Hong ketika mengadakan lawatan ke sawah padi di sekitar DUN Klebang.

NAIK TARAF PENGAIRAN SAWAH PADI, KEBUN

Selain pelancongan, Klebang turut menjadi antara lokasi pertanian terpenting di Melaka terutamanya sawah padi yang berkeluasan 815 hektar.

Justeru, Ban Hong berkata, aspek pengairan menjadi antara perkara yang diperjuangkannya yang mana kerajaan telah meluluskan peruntukan berjumlah RM29.4 juta bagi pembangunan fasa kedua sistem pengairan di kawasan itu yang dijangka siap pada September 2025.

Jelas Ban Hong, berita itu nyata dinanti-nantikan pesawah dan pekebun di kawasan itu memandangkan projek itu bukan sahaja dapat membekalkan air secukupnya, malahan turut meningkatkan hasil pertanian.

“Sebelum ini saya dimaklumkan pengeluaran padi hanyalah dua kali setahun, tetapi dengan sistem pengairan yang lebih baik, penghasilan itu dapat ditingkatkan kepada lima kali setahun.

“Bukan sawah padi sahaja, bahkan pekebun buah-buahan dan sayur-sayuran turut menerima manfaat daripada projek itu.

“Ini secara tidak langsung dapat bantu memperkasa atau mengukuhkan keterjaminan makanan di Melaka dan negara amnya,” katanya.

Menurut Ban Hong, pihaknya juga akan memantau pelaksanaan projek fasa dua itu yang dijangka akan bermula pada September tahun depan demi memastikan 180 petani dan pesawah di kawasan itu menerima manfaatnya.

BIODATA:

Nama: Datuk Lim Ban Hong
Umur: 45

Karier:-
– Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (2020 – 2022)
– Ahli Dewan Undangan Negeri Klebang (2021 – kini)

Politik:-
– Naib Presiden MCA
– AJK MCA Pusat (2013 – kini)
– Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan MCA Negeri Melaka (2015 – kini)
– Ketua MCA Bahagian Tangga Batu (2013 – kini)

Pendidikan:-
– Sarjana Muda Sains Komputer Universiti Teknologi Malaysia
– Sarjana Muda Undang-Undang University of London

INFO DUN KLEBANG:

Bil. Penduduk: 74,646

Kampung: 23
Taman Perumahan: 57

Rumah Ibadat:-
– Masjid: 6
– Surau: 28
– Tokong: 3
– Gereja: 1

Sekolah:-
– Sekolah Menengah: 2
– Sekolah Kebangsaan: 3
– Sekolah Rendah Agama JAIM: 5
-Sekolah Tahfiz: 2
– Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina): 2

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2882
Kongsi :
Previous post Rumah ibarat ‘bom jangka’, agensi terlibat diminta selesaikan segera – Zahari
Next post Tanah runtuh: Pencarian sembilan mangsa bersambung hari ini
Ubah saiz-+=